Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah perlu perkukuh profesionalisme pekerja sosial, rangkaian sukarelawan berstruktur

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Sabah perlu memperkukuh profesionalisme pekerja sosial serta membangunkan rangkaian sukarelawan yang lebih tersusun bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kebajikan dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pekerja sosial dan sukarelawan memainkan peranan saling melengkapi dalam menangani pelbagai cabaran sosial, khususnya membabitkan golongan rentan, keluarga serta komuniti yang memerlukan sokongan.

Beliau berkata, bidang kerja sosial memerlukan pengetahuan khusus, latihan sewajarnya, kemahiran profesional serta pematuhan kepada etika kerja bagi memastikan bantuan yang disampaikan bersesuaian dengan keperluan penerima dan memberikan kesan berterusan.

Katanya, penyampaian perkhidmatan sosial bukan hanya bergantung kepada keprihatinan dan niat baik, sebaliknya turut memerlukan kepakaran serta sistem sokongan yang terselaras.

“Penyampaian perkhidmatan sosial bukan sekadar memerlukan rasa prihatin dan niat yang baik. Ia turut menuntut pengetahuan profesional, kemahiran yang sesuai serta sistem sokongan yang terselaras bagi memastikan bantuan yang diberikan memberi impak bermakna dan berterusan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebajikan dan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Julita berkata, pengukuhan profesionalisme dalam bidang berkenaan penting bagi memastikan pekerja sosial mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, selain memberikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan sebenar masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan kesukarelawanan yang lebih berstruktur juga perlu diperkasakan bagi memastikan sukarelawan menerima bimbingan sewajarnya dan dapat menyumbang mengikut keperluan masyarakat setempat.

Menurutnya, platform seperti program MyCHAMPION di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta program sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh dimanfaatkan sebagai saluran untuk menggalakkan penglibatan individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Kesukarelawanan tidak seharusnya terhad kepada penyertaan sekali-sekala. Kita memerlukan rangkaian yang mampan, dengan sukarelawan diberikan bimbingan, sumbangan mereka diselaraskan dan kemahiran masing-masing dimanfaatkan secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh keupayaan pekerja sosial dan jaringan sukarelawan perlu dilaksanakan secara berterusan menerusi kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sistem perkhidmatan sosial di Sabah lebih berkesan dan inklusif.

Katanya, sambutan Bulan Kebajikan sepanjang November juga menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai anggota masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan serta kesukarelawanan.

Julita berharap program yang dilaksanakan sempena sambutan itu dapat meningkatkan keupayaan profesional dalam bidang kerja sosial, selain memperkukuh kerjasama jangka panjang antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat.

Turut hadir Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong; serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jais Asri.

LEAVE A RESPONSE