Read Time:1 Minute, 53 Second
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan terus memperkukuh budaya pematuhan undang-undang perdagangan serta amalan perniagaan beretika menerusi pelaksanaan Zon Tumpuan Pelancongan PATUH (ZTPP) 2026 dan Program Pasar PATUH (3P).
Kedua-dua inisiatif di bawah Program PATUH itu dilaksanakan di dua lokasi strategik, iaitu Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Pasar Sentral UTC Labuan, pada Selasa.
Majlis pelancaran ZTPP 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Turut hadir Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain serta pegawai KPDN Labuan.
Pelaksanaan ZTPP 2026 dimulakan menerusi sesi walkabout di Terminal Feri Antarabangsa Labuan yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pematuhan peraturan perdagangan dalam sektor pelancongan.
Pemilihan terminal berkenaan sebagai lokasi pelaksanaan program adalah signifikan kerana ia merupakan antara pintu masuk utama ke Labuan yang menghubungkan pulau itu dengan destinasi di Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam menerusi perkhidmatan feri serta bot laju.
Kehadiran penumpang dan pengunjung yang berterusan di kawasan berkenaan turut membuka ruang kepada KPDN untuk memperluas advokasi kepenggunaan, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan perniagaan yang telus, beretika dan mesra pengguna.
Program diteruskan dengan sesi walkabout Program Pasar PATUH (3P) di Pasar Sentral UTC Labuan yang memberi penekanan terhadap pematuhan peraturan perdagangan dalam kalangan peniaga pasar.
Inisiatif itu turut menjadi platform kepada KPDN untuk mendekati peniaga secara langsung melalui pemberian penerangan serta meningkatkan kefahaman mereka mengenai tanggungjawab dan keperluan undang-undang dalam menjalankan aktiviti perniagaan.

Antara aspek utama yang diberi perhatian menerusi kedua-dua program itu termasuk penandaan harga barangan yang jelas, penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan serta ketelusan dalam urus niaga.
Pematuhan terhadap aspek berkenaan penting bagi memastikan pengguna memperoleh maklumat harga yang tepat, menikmati hak sewajarnya serta dilindungi daripada amalan perniagaan yang boleh menjejaskan kepentingan mereka.
Selain memberi manfaat kepada pengguna, pelaksanaan ZTPP dan Program Pasar PATUH turut membantu meningkatkan kesedaran peniaga mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dalam setiap urusan perniagaan.
Pendekatan advokasi secara bersemuka itu diharap dapat membentuk budaya kawal selia kendiri dalam kalangan peniaga, sekali gus menjadikan amalan perniagaan berintegriti sebagai sebahagian daripada rutin harian.
KPDN Labuan berharap pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu terus mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak, khususnya pengusaha premis serta peniaga di kawasan terlibat bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih bertanggungjawab, telus dan mesra pengguna.





