Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Hanya pengundi berdaftar sehingga Ogos layak mengundi pada 29 November – SPR

Read Time:1 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU :  Rakyat Sabah yang berdaftar sebagai pengundi sehingga Ogos lalu layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) yang dijadualkan pada 29 November depan.

Ketua Program Latihan (Akademi Pilihan Raya) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Aminudin Nik Shahar Shah berkata, daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2025, yang dikemas kini setakat 5 Oktober 2025.

“Mereka yang baru berdaftar selepas bulan Ogos, termasuk individu yang baru mencapai umur 18 tahun pada September atau Oktober, tidak tersenarai dalam daftar pemilih bagi pilihan raya ini.

“Ini kerana nama mereka tidak disenarai dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya  (DPPR) yang digunakan oleh SPR bagi PRU DU Sabah Ke-17. Perkara ini perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media berhubung proses PRU DU Sabah Ke-17 di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada Selasa.

Nik Aminudin  berkata, penggunaan daftar pemilih tersebut adalah selaras dengan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu, seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, nama pemilih yang meninggal dunia selepas senarai tersebut dikemas kini masih kekal dalam daftar sedia ada dan hanya akan disemak semula dalam proses kemas kini seterusnya.

“Penjelasan ini penting bagi mengelak kekeliruan, terutama apabila ada yang sudah layak mengundi dari segi umur tetapi nama mereka belum dimasukkan ke dalam daftar pilihan raya,” katanya.

SPR turut memaklumkan bahawa 1,784,843 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRU kali ini.

Ia merangkumi 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

DPPR bagi PRU DUN Sabah Ke-17 akan mula dijual sebagai rujukan kepada parti politik dan calon bermula 1 November ini. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

LEAVE A RESPONSE