Read Time:1 Minute, 41 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Balung, Datuk Hamild Awang, menzahirkan keyakinan tinggi bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 kali ini.
Katanya, jentera GRS di kawasan itu kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya, dengan gerak kerja yang tersusun hingga ke peringkat akar umbi.
“Kita sudah bersiap sedia sepenuhnya. Di DUN Balung, ada enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang aktif dan masing-masing tahu peranan mereka.
“Segala program dan strategi telah diatur bagi memastikan kempen kita nanti berjalan lancar dan berkesan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hamild yang juga penyandang kerusi DUN Balung, berkata tenaga muda turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kekuatan GRS menjelang PRU kali ini.
“Alhamdulillah, sambutan anak-anak muda sangat menggalakkan.
“Dalam pertemuan baru-baru ini di Kampung Bukit Batu 5 Jalan Apas, mereka nyatakan sokongan kuat kepada GRS dan kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Hamild, pendekatan jentera GRS kali ini memberi penekanan kepada pendekatan mesra rakyat, dengan turun padang ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman bagi mendengar sendiri suara rakyat.
“Kita tidak hanya berkempen, tetapi benar-benar mendekati rakyat dan memahami keperluan mereka.
“Inilah cara kita berkhidmat. GRS sentiasa membuktikan komitmen untuk membela nasib rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Hamild menyatakan bahawa keyakinan mempertahankan DUN Balung berpaksikan kepada rekod khidmat dan kepercayaan rakyat yang dibina sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, kita akan pertahankan DUN Balung.
“Selama ini kita bekerja untuk rakyat dan hasilnya dapat dilihat melalui pembangunan yang dibawa,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan dicalonkan semula, Hamild berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, namun menegaskan dirinya sudah bersedia jika diberi kepercayaan.
“Kita serahkan keputusan kepada Presiden parti. Tapi kalau diberikan amanah, saya bersedia sepenuhnya untuk terus berkhidmat demi rakyat Balung,” katanya.
Hamild turut mengingatkan jentera GRS agar terus kekal bersatu dan fokus dalam perjuangan menghadapi PRU, selain memastikan segala gerak kerja dijalankan dengan disiplin dan semangat setiakawan.






