Read Time:2 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Beberapa pemain profesional pickleball, antarabangsa termasuk pemain yang berada di kedudukan keenam ranking lelaki Asia, Quang Duong dari Vietnam bakal menjadi tumpuan pada Kejohanan Pickleball Terbuka Sabah.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula esok akan turut disertai lebih 500 pemain dari seluruh Malaysia dan luar negara selain turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000.

Selain Quang Duong, turut mengambil bahagian ialah adiknya, Bao Duong, pemain profesional dari Amerika Syarikat, Roman Estareja serta pemain Indonesia, Frisandyo Fauzan.
Pemain profesional Vietnam yang beraksi dalam Jelajah Persatuan Pickleball Profesional (PPA), Sophia Tran Phuong Anh, turut berada di Sabah untuk menyaksikan kejohanan berkenaan selain mengendalikan klinik pickleball.
Sabah turut menampilkan barisan pemain terbaiknya, termasuk Stefan Alex, Neem Shamsuddin dan Jessica Keng, bagi memberi saingan kepada peserta antarabangsa.

Pengerusi penganjur kejohanan, Lamardani Jonaeli, berkata kejohanan anjuran Replay Pickleball Club dengan kerjasama Borneo Vision Holiday Sdn Bhd itu bertujuan menjadikan Sabah sebagai destinasi penganjuran pertandingan pickleball bertaraf antarabangsa.
Katanya, kejohanan yang mempertandingkan 11 kategori itu juga dirancang untuk dianjurkan setiap tahun bagi merancakkan pembangunan sukan berkenaan.
Beliau berkata, kejohanan itu turut membuka peluang kepada pemain tempatan mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
“Kejohanan ini dianjurkan untuk membuka peluang kepada pemain tempatan atau bakat dari Sabah melangkah ke peringkat antarabangsa.
“Menerusi kejohanan ini, pemain tempatan dapat menimba pengalaman, meningkatkan kemahiran serta keyakinan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi melalui pendedahan kepada pemain antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, sambutan menggalakkan terhadap kejohanan itu membuktikan Sabah mempunyai potensi untuk terus mengembangkan sukan pickleball, sekali gus menarik lebih ramai pemain dari dalam dan luar negara pada masa akan datang.
Sementara itu, penganjur bersama kejohanan, Wilson Ngu Siong Yiung, berkata penganjuran itu turut menjadi platform mempromosikan pelancongan sukan di Sabah.
Katanya, perkembangan pesat pickleball di seluruh dunia membuka peluang untuk menggabungkan aktiviti sukan dan pelancongan bagi memperkenalkan Sabah kepada khalayak lebih luas.
“Menerusi sukan pelancongan, kita menggabungkan sukan dan pelancongan. Kita mahu mengambil peluang daripada perkembangan pickleball ini untuk memperkenalkan Sabah kepada masyarakat luar.
“Kita perlu membawa Sabah ke peringkat antarabangsa dan sebab itu kita mengadakan kejohanan ini dengan kerjasama Replay Pickleball Club,” katanya.
Dalam pada itu, Quang Duong menyifatkan penganjuran sulung Sabah Open sebagai satu program menarik dan berharap kejohanan berkenaan dapat membantu mengangkat nama Sabah dalam sukan pickleball di peringkat antarabangsa.
“Terima kasih kerana menjemput saya menyertai kejohanan ini. Saya berharap usaha ini dapat membawa Sabah ke peringkat antarabangsa dalam sukan pickleball,” katanya.
Sementara itu, Stefan Alex menjangkakan kejohanan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sukan tempatan, khususnya dengan kehadiran pemain antarabangsa.
Katanya, penyertaan pemain bertaraf antarabangsa bukan sahaja menarik perhatian penonton, malah memberi motivasi kepada pemain tempatan untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
“Ramai yang teruja untuk datang menyaksikan pemain antarabangsa. Saya rasa kejohanan ini akan mendapat sokongan dan sambutan sangat baik daripada masyarakat Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA





