PUTRAJAYA : Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan kesahihan sebuah dokumen bertajuk “Perintah Larangan Penggunaan Telefon Pintar Bagi Individu Di Bawah Umur 16 Tahun” yang sedang tular di aplikasi WhatsApp dan media sosial pada Isnin.
Dalam kenyataan hari ini, JPM menegaskan bahawa dokumen berkenaan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.
“Untuk makluman bersama, Jabatan ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara ini.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsikan kepada pengguna lain untuk mengelak sebarang kekeliruan,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut JPM, penyebaran berita atau maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – SABAH MEDIA






