Read Time:1 Minute, 12 Second
KUALA LUMPUR, — Sebanyak 5,000 pek SIM prabayar YES 5G bernilai RM100,000 disumbangkan kepada pelajar golongan B40 di Johor bagi menyokong pembelajaran dan memudahkan akses kepada bahan pendidikan digital.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah terhadap pendidikan serta kebajikan generasi muda, terutama susulan situasi jerebu yang melanda negara baru-baru ini.
Sumbangan menerusi Inisiatif Kesalinghubungan Digital Johor itu dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications Sdn Bhd, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Setiap pek SIM dilengkapi 50GB data internet berkelajuan tinggi secara percuma bagi menyokong Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selain memudahkan pelajar mendapatkan bahan pendidikan dalam talian.
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Menara YTL di sini pada 28 Oktober, disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee bersama Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishammuddin Abdul Rahim.
Menurut hantaran berkenaan, Hishammuddin menzahirkan penghargaan kepada YTL Communications atas sumbangan yang dapat membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan keluarga B40 yang mempunyai akses internet terhad.
Beliau turut menyatakan usaha itu dapat memastikan proses PdPR pelajar berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.
Sementara itu, Wing berharap pengagihan pek SIM percuma berkenaan dapat membantu murid di Johor supaya tidak ketinggalan dalam pembelajaran.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Jacob Yeoh Keong Yeow; Ketua Pemasaran YTL Communications, Chay Wan Nee dan Pengurus Komunikasi Korporat YRZSNJ, Dawson Yeang.





