Read Time:1 Minute, 3 Second
KUDAT: Seorang pekerja kontraktor warga Filipina maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di kawasan pagar di sebuah sekolah, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum terjatuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba empat minit kemudian, pasukan bomba mendapati mangsa berada di kawasan pintu gerbang sekolah dan dipercayai terkena renjatan elektrik.
“Pasukan bomba kemudian menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) untuk mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keselamatan kawasan sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan.
“Sabah Electricity tiba pada jam 9.12 pagi dan bekalan elektrik diputuskan dan mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.46 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.





