Read Time:1 Minute, 39 Second
Kuala Lumpur : Agensi Kawalan dan Pelindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan nilai rampasan barangan berjumlah RM322.7 juta sehingga Oktober tahun ini, meningkat hampir empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Tuan Haji Ismail bin Mokhtar berkata, pencapaian itu mencerminkan usaha agensi berkenaan membendung ketirisan hasil negara serta memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa nilai rampasan bukan satu-satunya ukuran kejayaan, sebaliknya keberkesanan pencegahan dan keupayaan mematahkan rangkaian sindiket perlu turut diberi perhatian.
“Kita bukan mahu sekadar merampas barang. Kita mahu menutup laluan, mengenal pasti pelaku dan mematahkan sistem yang membolehkan penyeludupan berulang,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kedua AKPS.
Menurut Ismail, AKPS kini beroperasi di 123 pintu masuk negara berbanding 2 pada tahun lalu, dengan menggabungkan fungsi kawalan dan pelindungan daripada enam agensi teras.
Katanya, peluasan operasi itu memerlukan penyelarasan prosedur, perkongsian maklumat, pengukuhan keupayaan anggota serta pemantapan satu rantaian arahan.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan perlu beralih daripada pemeriksaan rutin kepada pemeriksaan berasaskan risiko, disokong tindakan berasaskan risikan dan operasi bersepadu.
“Kejayaan tidak boleh diukur melalui jumlah pemeriksaan semata-mata. Kita mesti menilai sama ada ancaman berjaya dikesan, sindiket berjaya dipatahkan dan kelemahan yang dikenal pasti benar-benar ditutup,” katanya.
Mengulas isu sisa elektrik dan elektronik atau e-waste, Ismail berkata, ancaman di pintu masuk negara semakin kompleks kerana penguatkuasaan turut melibatkan pengesahan dokumen, pemeriksaan teknikal dan pengenalpastian pihak bertanggungjawab.
Katanya, AKPS menyasarkan sebanyak 1,259 kontena yang membawa e-waste dapat dieksport keluar menjelang penghujung tahun ini.
Dalam aspek sumber manusia, beliau berkata, seramai 4,190 pegawai telah menerima skim perkhidmatan AKPS setakat 20 Oktober, daripada 7,199 perjawatan yang ditawarkan.
AKPS turut melaksanakan pengambilan 408 pegawai perintis yang menamatkan latihan asas pada 27 September lalu sebelum ditempatkan bagi penugasan di RTS Link.
Sementara itu, Ismail menegaskan bahawa pengukuhan operasi, penggunaan teknologi dan pertambahan sumber mesti disertai budaya kerja berintegriti.
“Pendirian kita jelas: tiada kompromi terhadap rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan terhadap amanah,” katanya.




