Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bakeri di Labuan dikompaun gagal pamer tanda harga roti

Read Time:1 Minute, 42 Second

LABUAN: Sebuah bakeri di sini dikenakan tindakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi roti yang dijual di premis berkenaan.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, tindakan itu diambil susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada pengguna sebelum sepasukan pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan kira-kira jam 11 pagi, pada Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis roti yang dipamerkan di rak jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai yang jelas.

“Keadaan itu boleh menyukarkan pengguna mengetahui harga sebenar barangan sebelum membuat pilihan dan meneruskan pembelian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan ketidakpatuhan berkenaan, KPDN mengambil tindakan kompaun terhadap pengusaha bakeri itu mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj bagi Perkhidmatan) 2020, yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Junaidah berkata, peraturan penandaan harga merupakan antara langkah penting bagi memastikan pengguna mendapat maklumat harga yang tepat, jelas dan telus sebelum membuat pembelian.

Katanya, pengguna berhak mengetahui harga sesuatu barangan tanpa perlu membuat andaian atau mendapatkan kepastian selepas memilih barangan untuk dibeli.

“Semua peniaga diingatkan supaya memastikan setiap barangan yang ditawarkan untuk jualan mempunyai tanda harga yang jelas dan mudah dilihat.

“Kegagalan mematuhi peraturan bukan sahaja boleh mengundang tindakan penguatkuasaan, malah boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap sesebuah perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, individu yang disabitkan atas kesalahan berkaitan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh didenda sehingga RM100,000.

Dalam pada itu, KPDN Labuan menghargai keprihatinan orang ramai yang tampil menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan isu kepenggunaan.

Menurutnya, setiap aduan yang diterima merupakan maklumat penting bagi membantu kementerian meneliti isu yang dibangkitkan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil pemeriksaan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“KPDN Labuan akan terus komited memperkukuh penguatkuasaan dan melindungi kepentingan pengguna.

“Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN sekiranya mengesan sebarang ketidakpatuhan kerana suara pengguna memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.

LEAVE A RESPONSE