Read Time:1 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor terlibat diminta untuk memastikan jalan sedia ada di kawasan Tebobon, di sini, sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat bagi mengelakkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerosakan jalan di kawasan itu kerap berulang berikutan laluan berkenaan digunakan setiap hari oleh pelbagai kenderaan, termasuk lori dan kenderaan berat.
Beliau berkata, keadaan itu turut menyumbang kepada kesukaran memastikan jalan berkenaan kekal dalam keadaan baik walaupun kerja-kerja pembaikan sudah dilaksanakan.
Menurutnya, kerosakan di beberapa lokasi tertentu, terutama di kawasan Tebobon, antara isu yang diberi perhatian susulan kesesakan lalu lintas di laluan sedia ada sebelum memasuki jajaran Lebuhraya Pan Borneo.
“Kerosakan jalan yang berlaku memang dibaiki, cuma sekarang ini isunya ia tidak dapat bertahan, sebab menjadi laluan harian.
“Tapi, kita sudah minta pihak JKR dan pihak kontraktor untuk memastikan jalan ini dapat dilalui dengan selamat oleh pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Madani Kita @ Sepanggar di Manggatal, dekat sini, pada Sabtu.
Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, pihaknya turut mengadakan mesyuarat secara berkala dengan agensi berkaitan bagi memantau perkembangan pelaksanaan projek serta memastikan keadaan jalan sedia ada terus diberi perhatian.
Menurutnya, penyelenggaraan jalan berkenaan menjadi tanggungjawab JKR dan kontraktor selagi pakej enam, tujuh dan lapan projek Pan Borneo belum disiapkan.
Katanya, kerosakan jalan boleh menjadi lebih ketara ketika hujan, terutama di kawasan tertentu, dan memerlukan tindakan pembaikan bagi memastikan laluan berkenaan terus boleh digunakan dengan selamat.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya sementara menunggu projek Pan Borneo disiapkan. – SABAH MEDIA





