Read Time:3 Minute, 32 Second
KUDAT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan perpaduan gabungan itu berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kekuatan Sabah untuk mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan perlu bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungan itu ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan negeri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan kestabilan pentadbiran Sabah.
Katanya, kejayaan GRS muncul sebagai blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, November tahun lalu, bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya sumbangan bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu sentiasa mengatasi kepentingan GRS supaya perjuangan gabungan itu kekal berpaksikan rakyat dan negeri.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri sepanjang kempen, termasuk menggunakan kenderaan sendiri serta meninggalkan keluarga demi perjuangan parti.
Menurutnya, mereka yang jarang mendapat perhatian media dan tidak dikenali ramai merupakan asas kekuatan GRS, justeru pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan apabila kemenangan dicapai.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini. Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.
Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran agar GRS terus memperkukuh perpaduan, lebih matang dalam membuat keputusan dan mengetepikan ego politik.
Katanya, kepelbagaian masyarakat Sabah serta perbezaan pilihan pengundi perlu difahami dan dihormati, manakala organisasi dan kerjasama antara parti komponen perlu terus diperkukuh bagi mengekalkan keyakinan rakyat.
Menurutnya, rakyat bukan sekadar mahukan retorik politik, sebaliknya mengharapkan kehidupan lebih baik, peluang pekerjaan, ekonomi yang kukuh dan kerajaan stabil yang mampu menyelesaikan masalah.
“Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah. Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
Hajiji menegaskan status sebagai parti tempatan sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan kepercayaan rakyat kerana keyakinan itu perlu dibina melalui hasil pentadbiran dan pembangunan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Menjelang pilihan raya akan datang, beliau berkata, perbincangan mengenai calon dan pembahagian kerusi pasti menguji kesetiaan serta semangat setiakawan antara parti komponen, terutama apabila ada pihak perlu bertolak ansur dan menerima keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Katanya, setiap pemimpin perlu membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego, selain tidak menjadikan kegagalan memperoleh kerusi sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan sendiri.
Hajiji turut mengingatkan bakal calon GRS supaya tidak bersikap sombong selepas menang kerana setiap kemenangan bergantung pada sokongan jentera pelbagai parti komponen, termasuk mereka yang tidak mendapat peluang bertanding.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri! Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti. Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu!” katanya.
Beliau berkata, hubungan dalam GRS perlu dibina berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati, selain memberi ruang kepada generasi muda untuk memikul tanggungjawab serta menyumbang idea baharu.
Pada masa sama, pengalaman pemimpin lebih lama perlu terus dihargai sebagai panduan bagi memastikan kesinambungan perjuangan gabungan itu.
Hajiji turut mengingatkan bahawa jawatan tidak kekal selama-lamanya dan setiap pemimpin hanya memegang amanah untuk tempoh tertentu, justeru tidak seharusnya terlalu mempertahankan kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab kepada rakyat.
“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya.
Beliau menegaskan empat prinsip perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, perlu diterjemahkan melalui komitmen, gerak kerja dan usaha menjaga kebajikan rakyat, bukannya sekadar menjadi slogan politik.





