Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah beralih ke fasa perkasa keupayaan pembangunan

Read Time:3 Minute, 49 Second

KUDAT: Kerajaan Sabah kini bersedia melangkah ke fasa baharu pembangunan, daripada mengekalkan kestabilan politik kepada memperkasa keupayaan negeri untuk terus maju dan makmur menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata lima tahun pertama pentadbirannya memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan politik, memperkukuh kedudukan kewangan, memantapkan pentadbiran, membina keyakinan pelabur, memperjuangkan hak negeri serta menghidupkan semula projek tertangguh.

Katanya, kestabilan yang dicapai perlu dimanfaatkan untuk menarik pelaburan, membangunkan infrastruktur dan merancang masa depan Sabah bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bukannya sekadar memastikan kerajaan kekal berkuasa.

“Kerajaan dan politik yang stabil tiada nilainya jika isu rakyat gagal diselesaikan. Rakyat mengundi kita untuk mencari penyelesaian, bukan untuk mendengar alasan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, peningkatan hasil negeri sehingga mencecah RM7 bilion setahun bukan untuk dibanggakan semata-mata, sebaliknya perlu dikembalikan kepada rakyat melalui pembangunan, peluang ekonomi dan pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan mereka.

Beliau mengakui rakyat masih berdepan masalah asas, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik. Bagaimanapun, kerajaan negeri sedang melaksanakan usaha berskala besar menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk 173 projek pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan 77 projek berkaitan bekalan air.

Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan dan penaiktarafan jambatan, rangkaian jalan raya, loji rawatan air serta sistem bekalan air di seluruh negeri.

Katanya, pelaksanaan projek memerlukan masa kerana perlu melalui proses reka bentuk, pengambilan tanah, tender dan pembinaan sebelum dapat disiapkan.

“Masalah yang telah wujud sejak puluhan tahun tidak boleh, malah mustahil dapat diselesaikan dalam satu malam. Tetapi yang penting, kerja-kerja sedang dijalankan. Walau sesukar mana pun cabarannya, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti sehingga segala masalah dapat diselesaikan,” katanya.

Mengenai tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Hajiji berkata, termasuk hak berkaitan ekonomi negeri, perkara itu terus menjadi keutamaan kerana berkait langsung dengan kekuatan kewangan negeri dan keupayaan menyediakan pembangunan lebih baik kepada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri menggunakan fakta, data kewangan, asas perundangan dan persediaan teknikal yang lengkap bagi memastikan tuntutan Sabah dibawa secara berkesan dalam rundingan, sambil mengekalkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Yang penting, Sabah mendapat hasil. Yang sudah muktamad, kita laksanakan; dan yang masih interim, kita usahakan sehingga dimuktamadkan. Yang belum selesai, kita teruskan rundingan dengan hujah dan asas yang lebih kukuh,” katanya.

Dalam sektor minyak dan gas, beliau berkata, pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS pada 2021 menjadi titik tolak penting dalam meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri berkenaan.

Menerusi SMJ Energy, katanya, Sabah kini memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, selain terlibat dalam sektor minyak, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia.

Penyertaan vendor tempatan dalam industri itu turut meningkat daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 499 kontrak pada 2025.

Hajiji berkata, matlamat kerajaan bukan sekadar memperoleh hasil daripada pengeluaran minyak dan gas, tetapi memastikan rakyat menikmati manfaat lebih besar melalui peluang perniagaan, pembangunan kepakaran tempatan, pemilikan serta aktiviti hiliran industri berkenaan.

Menyentuh sektor pendidikan, beliau berkata, pengalaman membesar dalam keluarga susah mendorongnya memastikan kemiskinan tidak menjadi penghalang kepada anak Sabah untuk memperoleh pendidikan dan peluang membina masa depan lebih baik.

Beliau berkongsi pengalaman ketika hendak menduduki peperiksaan Tingkatan Tiga atau LCE pada 1971, apabila ibunya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15.

Katanya, atas kesedaran itu, kerajaan meneruskan 14 inisiatif bantuan pendidikan selaras dengan Teras Kedua Hala Tuju SMJ, iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan bantuan tiket penerbangan mahasiswa menerusi SUBFLY.

Peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta pada 2026, manakala hampir 480,000 pelajar menerima manfaat daripada pelbagai bentuk bantuan dan insentif pendidikan.

“Sekiranya Kerajaan berkemampuan untuk menghilangkan satu halangan daripada perjalanan hidup seorang anak Sabah untuk maju dan berjaya, maka kita harus hilangkan halangan tersebut. Sekurang-kurangnya jangan kita biarkan kemiskinan menentukan nasib mereka sebelum mereka sempat mencuba,” katanya.

Dalam usaha membantu golongan memerlukan, Hajiji berkata, kerajaan meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) dan inisiatif Rumah Mesra SMJ, dengan 11,000 rumah sudah dan sedang dibina setakat ini.

Katanya, kerajaan turut meneruskan pembinaan 50 Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini bagi membantu golongan miskin, miskin tegar serta pasangan muda daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mempunyai rumah.

Beliau menegaskan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat perlu bergerak seiring kerana kemajuan Sabah hanya bermakna apabila hasil pembangunan dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat, termasuk mereka yang tinggal di kawasan desa dan pedalaman.

LEAVE A RESPONSE