Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ibu Zara enggan bedah siasat walaupun diberi penjelasan polis – Pegawai penyiasat

Read Time:2 Minute, 48 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pegawai penyiasat kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa ibu remaja itu enggan membenarkan bedah siasat dijalankan terhadap anak tunggalnya walaupun telah diberikan penjelasan berhubung prosedur berkenaan.

Inspektor Wong Yew Zhung berkata, beliau bertemu Noraidah Lamat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai 2025, selepas Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 petang.

Saksi ke-83 itu berkata, beliau menerima panggilan daripada Dr Pavankumar Balachandran kira-kira jam 1.35 petang yang memaklumkan kematian Zara akibat ‘severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy.’

Susulan itu, beliau bersama jurugambar bertugas bergegas ke HQE dan tiba kira-kira jam 3.30 petang sebelum menemui Dr Pavankumar serta Noraidah di wad neurosurgeri.

“Semasa berada di wad saya telah memaklumkan dan menjelaskan kepada ibu Zara bahawa bedah siasat akan dijalankan ke atas Zara untuk membantu siasatan kematian Zara.

“Walaubagaimanapun, ibu Zara menjawab “tidak mahu” dan enggan untuk bedah siasat dijalankan ke atas Zara. Saya menjelaskan sekali lagi kepada ibu Zara berkenaan bedah siasat, namun ibu Zara tetap berkeras menjawab ‘Tidak mahu. Saya mahu kebumikan dia dengan segera’,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Wong, susulan keengganan Noraidah dan memandangkan punca kematian Zara telah dikenal pasti, tiada borang POL 61, iaitu dokumen permohonan polis untuk menjalankan bedah siasat, dikeluarkan ketika itu.

Beliau berkata, Noraidah turut menandatangani beberapa dokumen pada 17 Julai 2025 sebelum jenazah Zara diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Antaranya ialah Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat atas Kemahuan Sendiri yang memperakui bahawa beliau tidak mahu bedah siasat dijalankan, tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berhubung kematian anaknya dan tidak akan menuntut laporan bedah siasat daripada hospital bagi tujuan perubatan-perundangan, tuntutan insurans atau tuntutan lain.

Dua lagi dokumen yang ditandatangani ialah Borang Notifikasi Kematian dan Pengendalian Jenazah serta Surat Akuan Pengesahan Pengurusan Perkhidmatan Jenazah.

Bagaimanapun, Wong berkata, beliau kemudian memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah menggali semula kubur Zara pada 9 Ogos 2025, selepas menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Katanya, perintah itu diperoleh daripada Majistret Zuraini Ali Musa pada kira-kira jam 3 petang hari sama, mengikut Seksyen 335(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Susulan itu, beliau bersama pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergerak ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang.

Proses penggalian semula kubur selesai pada malam berkenaan sebelum jenazah Zara dibawa ke Jabatan Forensik HQE untuk menjalani bedah siasat.

Wong berkata, bedah siasat bermula kira-kira jam 11 pagi pada 10 Ogos 2025, diketuai Pakar Patologi Forensik Dr Jessie Hiu dengan bantuan tiga doktor lain iaitu Dr. Khairul Anuar Zainun, Dr. Muhammad Uzair Ahmad Suriani, dan Dr. Lau Cheng Cheng.

“Turut hadir semasa proses tersebut adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar ASP Rosli Rasi, saya sendiri, Inspektor Desmond Tanggapan, ibu Zara dan wakil peguam kepada ibu Zara iaitu Shahlan Jufri,” katanya.

Berdasarkan hasil bedah siasat tersebut, Dr. Jessie telah menyimpulkan bahawa punca kematian Zara adalah “severe traumatic brain injury with hypoxic ischemic encephalopathy”.

“Punca kematian yang disimpulkan oleh Dr. Jessie berdasarkan hasil bedah siasat tersebut adalah sama dengan punca kematian yang telah disahkan pada 17 Julai 2025.

“Hasil pemeriksaan Dr. Jessie ke atas kecederaan-kecederaan yang ditemui pada tubuh Zara pula mendapati kecederaan-kecederaan tersebut adalah konsisten dengan kecederaan jatuh dari tempat tinggi (fall from height),” katanya.

LEAVE A RESPONSE