Read Time:2 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Siasatan polis mendapati tiada saksi melihat sendiri kejadian yang menyebabkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025.
Pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Wong Yew Zhung, berkata tiada pihak termasuk pengawal keselamatan atau warden asrama membuat rondaan di aras tiga blok asrama kediaman Zara pada malam kejadian.
“Hasil pemeriksaan saya turut mendapati bahawa tiada kamera litar tertutup dipasang di kawasan asrama yang dapat memberikan rakaman berhubung kejadian tersebut,” katanya ketika membaca pernyataan bertulisnya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian Zara.
Menurut Wong, berdasarkan keterangan saksi-saksi pelajar, kali terakhir Zara dilihat oleh sekumpulan pelajar adalah pada 15 Julai 2025, lebih kurang jam 10 malam, apabila beliau dipanggil oleh beberapa orang pelajar Tingkatan 4 berhubung dakwaan kes kecurian.
“Seterusnya, pada malam yang sama, antara jam 10.15 malam hingga 10.30 malam, beberapa orang saksi pelajar dari dorm A-3-5 menyatakan bahawa mereka telah melihat Zara memasuki dorm tersebut dalam keadaan menangis dan berbaring di atas lantai,” katanya.
Wong berkata, pada 16 Julai 2025, lebih kurang jam 12 tengah malam, empat orang pelajar tingkatan 1 yang berada di dalam dorm A-3-5, menyatakan bahawa Zara telah menghampiri mereka dan meminta untuk meminjam gunting. Walau bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dipenuhi.
Selanjutnya, antara jam 12.10 tengah malam hingga 12.30 tengah malam, tiga lagi pelajar tingkatan 1, menyatakan bahawa mereka telah melihat Zara memanjat dinding pembahagi tandas di aras tiga, dan memandang ke arah mereka.
“Pada lebih kurang jam 2.35 pagi, seorang pelajar, yang telah bangun awal untuk mandi, menyatakan bahawa beliau telah pergi ke tandas di aras tiga, dan mendapati pintu tandas pertama dalam keadaan tertutup.
“Apabila beliau cuba membuka pintu tersebut, beliau mendapati pintu berkenaan ditolak dari dalam oleh seseorang yang memakai baju sukan tertera perkataan ‘Hanafi’.
“Beliau tidak dapat melihat wajah individu tersebut, namun menyatakan bahawa baju yang dipakai oleh individu berkenaan adalah sama seperti baju yang dipakai oleh Zara ketika ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Zara ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025.
Dia disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dijalankan pada keesokan harinya di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang dikenali dengan nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Prosiding inkues bermula pada 3 September 2025 bagi menentukan punca dan keadaan kematian Zara, termasuk sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu.





