Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU: Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 setiap seorang kepada dua ahlinya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini bagi membantu meringankan beban mereka membersihkan kediaman masing-masing.
Penerima sumbangan ialah Winston Bewsher dari Tuunon Kolopis, Penampang dan Michelle Bulo dari Taman Sri Kiansom, Inanam. Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Agung SAFVA, Jade Morris, dalam majlis ringkas di pawagam Growball, di sini, selepas tayangan filem Mr Finance arahannya.
Jade berkata, SAFVA akan terus memberi perhatian terhadap kebajikan ahlinya, selain menganjurkan aktiviti pengumpulan dana bagi membolehkan lebih banyak bengkel dan seminar peningkatan kemahiran dilaksanakan untuk memperkasakan penggiat industri filem Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas usaha memperkukuh perlindungan dan kebajikan kru produksi bagi memastikan kesejahteraan tenaga kerja dalam industri perfileman terus terpelihara.
Mengulas harapan terhadap Belanjawan 2027 bagi industri kreatif, Jade optimis Sabah akan terus mendapat perhatian kerajaan, termasuk melalui penyediaan peruntukan lebih besar selaras dengan perkembangan industri dan peningkatan aktiviti penerbitan filem di negeri ini.
Sementara itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menyokong filem Mr Finance, karya sulung arahannya yang diterbitkan menggunakan dana sendiri dan kini ditayangkan di 35 pawagam di seluruh negara.
“Kelangsungan Mr Finance di pawagam melebihi dua minggu amat bergantung pada sokongan penonton. Saya berharap orang ramai dapat memberikan peluang kepada filem tempatan, khususnya karya anak Sabah, untuk terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri perfileman negara,” katanya.
Filem Mr Finance mengangkat kisah cinta yang menyentuh hati dengan mengetengahkan watak seorang gadis autisme serta cabaran yang dihadapinya dalam menjalani kehidupan dan membina hubungan dengan orang di sekelilingnya.
Menerusi kisah itu, filem berkenaan turut menyampaikan mesej mengenai penerimaan, empati dan pemahaman terhadap individu autisme, di samping mengetengahkan nilai kemanusiaan dalam hubungan sesama insan.





