Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Golongan muda di Sabah berharap kepimpinan yang prihatin terhadap isu rakyat dapat diteruskan, khususnya dalam memperkukuh pembangunan belia melalui pendidikan dan peluang pekerjaan.
Berasal dari daerah Nabawan, Alesyah Asa, 23, berkata pemimpin yang bakal dipilih perlu terus turun padang mendekati rakyat dan memahami keperluan sebenar masyarakat Sabah.
“Sebagai belia Sabah, saya berharap pilihan raya kali ini dapat melahirkan dan mengekalkan pemimpin yang benar-benar memahami isu rakyat, terutama golongan muda.
“Saya ingin melihat pemimpin yang bukan sahaja berjanji, tetapi juga turun padang dan mendengar suara masyarakat di Sabah.
“Harapan saya juga agar proses pilihan raya berjalan dengan aman dan rakyat memilih berdasarkan kejujuran serta kemampuan calon,” kata pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini ketika dihubungi.
Alesyah sebelum ini pernah mengharumkan nama negara apabila tersenarai antara 50 finalis Anugerah Pelajar Global 2022 (Global Student Prize) dan merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam senarai tersebut.
Pencapaian itu turut melayakkannya menjadi penerima pertama Anugerah Khas sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah 2022.
Mengulas harapannya terhadap kerajaan selepas pilihan raya, Alesyah berkata tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan peluang pekerjaan dan peningkatan taraf pendidikan di kawasan luar bandar.
“Saya harap kerajaan baharu nanti dapat menambah baik kemudahan asas seperti jalan raya, Internet dan bekalan air.
“Ketelusan dalam pentadbiran juga penting agar janji kepada rakyat dapat ditunaikan dengan berkesan, tanpa mengira fahaman politik,” ujarnya.
Alesyah turut menghargai inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkannya banyak membantu pelajar dan belia menerusi pelbagai program seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA), subsidi tiket penerbangan pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) serta Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
“Saya sendiri merupakan penerima BKNS, dan bantuan ini sangat membantu menampung kos pengajian serta meringankan beban kewangan sebagai pelajar.
“Ia memberi semangat untuk terus belajar tanpa terlalu risau tentang perbelanjaan,” katanya.
Beliau berharap inisiatif sedia ada dapat diperluas kepada lebih ramai pelajar luar bandar dan proses permohonan disegerakan dengan lebih telus.
Pada masa sama, beliau mahu peluang pekerjaan dan latihan kemahiran terus diperkasa agar belia Sabah yang mampu terus membangun seiring kemajuan negeri.






