Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pemuda GRS Keningau dekati komuniti, hargai jasa wira kesihatan

Oleh Silar Pinikit

KENINGAU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau, Rafie Datuk Robert, meneruskan pendekatan mesra rakyat dengan menyantuni petugas kesihatan di sekitar daerah ini melalui program penghargaan khas baru-baru ini.

Program itu bertujuan menyampaikan buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada para petugas kesihatan yang menjadi tunjang utama dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat sentiasa terpelihara.

Antara fasiliti yang dikunjungi ialah Klinik Kesihatan Apin-Apin, Klinik Desa Kampung Baginda, Klinik Kesihatan Bingkor, Pejabat Kesihatan Pergigian Keningau, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Keningau, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau serta Hospital Keningau.

Rafie berkata, sumbangan kecil ini merupakan pengiktirafan kepada dedikasi dan kecekalan para petugas kesihatan yang terus berkhidmat tanpa jemu, khususnya selepas melalui tempoh mencabar ketika pandemik COVID-19.

“Mereka tidak pernah berhenti berbakti. Sumbangan ini tanda penghargaan kami atas komitmen tinggi mereka dalam menjaga kesihatan rakyat Keningau,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda GRS Keningau akan terus melaksanakan program berbentuk kebajikan dan penghargaan kepada golongan yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

LEAVE A RESPONSE