Read Time:2 Minute, 3 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Lagu “Lumangad Oku Dika” karya Ryenald Guntabid muncul juara Anugerah Carta Lagu Artis Sabah ke-16 (Clas16).
Kemenangan itu membolehkan Ryenald membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000.
Bagaimanapun, kejayaan itu diraih tanpa kelibat Ryenald di pentas apabila beliau yang juga penulis lirik, komposer dan penyanyi asal lagu berkenaan berada di Kuching bagi menghadiri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM 25).
Lagu berkenaan dipersembahkan oleh Fely Stacy Paimin pada malam pertandingan yang berlangsung di Auditorium JKKN Sabah, semalam.
Tempat kedua menjadi milik “Bintang Menemani Bulan” ciptaan dan tulisan Arddley Nicholas yang dipersembahkan oleh Loverlhine Ivy R Amin, dengan hadiah RM4,000.
Seperti Ryenald, Arddley yang juga penyanyi asal lagu berkenaan tidak dapat hadir kerana turut menghadiri AIM 25 di Kuching.
Sementara itu, “Memori” ciptaan dan tulisan Jun yang dipersembahkan oleh Felix Agus menduduki tempat ketiga dan menerima RM2,000.
Loverlhine turut mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Vokal Terbaik menerusi “Bintang Menemani Bulan”.
Mixsimus Jumi pula memenangi Lirik Terbaik menerusi “Semarakkan Harapan”, manakala Qahirah Maisarah menerima anugerah Persembahan Terbaik menerusi “Bahagia Tanpamu”.
Setiap pemenang bagi tiga kategori berkenaan menerima RM1,000, manakala tujuh finalis lain masing-masing menerima RM500.
Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Mazlan @ Joehari Manan.
Sebanyak sembilan lagu berentap pada pentas akhir Clas16, termasuk “Semarakkan Harapan” yang ditulis, dicipta dan dipersembahkan Mixsimus; “Bahagia Tanpamu” karya Edwan Abo yang dipersembahkan Qahirah; “Lumangad Oku Dika” karya Ryenald yang dipersembahkan Fely; serta “Hati Bukan Mata” yang ditulis, dicipta dan dipersembahkan Narsisius Justin Misin.
Turut bersaing ialah “Yang Satu” ciptaan Moses Bryan Clay dan Don, dengan lirik oleh Don serta dipersembahkan Moses; “Mungkin Hari Esok” tulisan dan ciptaan Clerence@Bob yang dipersembahkan Queennera; serta “Bintang Menemani Bulan” karya Arddley yang dipersembahkan Loverlhine.
Dua lagi finalis ialah “Memori” karya Jun yang dipersembahkan Felix dan “Mawar Merekah” ciptaan Nabil Syafiq, dengan lirik oleh Ag Aidil Adzhar Bakar serta dipersembahkan Dang Mar Ezzah.
Anugerah bertemakan “Black Gold” itu dianjurkan RTM Sabah menerusi Seksyen Hiburan dan Muzik, dengan semua finalis diiringi Kombo RTM Sabah.
Juara Clas15, Velvet Aduk tampil sebagai artis undangan khas, manakala Funz Crew membuka acara dan DJ Edith bersama DJ Noddy mengendalikan malam berkenaan.
Clas yang dianjurkan sejak 2005 menjadi platform untuk penulis lagu, komposer dan penyanyi Sabah.
Finalis musim ini dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam carta mingguan Clas, termasuk sokongan dan undian pendengar.
Pertandingan akhir itu turut disiarkan menerusi Sabahfm, platform media sosial rasmi RTM Sabah dan RTMKlik.






