Read Time:2 Minute, 54 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia 2026 di Sabah bukan sekadar acara tahunan atau cuti umum, sebaliknya menjadi wadah untuk menyemai penghayatan terhadap sejarah, kemerdekaan dan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, generasi muda perlu memahami erti sebenar pembentukan Malaysia serta menghargai perjuangan dan kemerdekaan yang dikecapi hari ini.
Katanya, penglibatan generasi muda dalam sambutan tahun ini turut diterjemahkan menerusi penyertaan kira-kira 300 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah dalam satu persembahan khas.
“Yang penting bagi kita ialah bukan hari sambutan tahunan ataupun cuti, tetapi penghayatan, terutama kepada generasi muda.
“Kita mahu mereka memahami sejarah dan erti pengisian kemerdekaan supaya dapat dibawa bersama-sama, bukan sekadar sambutan dan perayaan, tetapi lebih penting daripada itu ialah penghayatan kepada generasi muda kerana merekalah pemimpin pewaris masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Khas Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini, hari ini.
Jafry yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, sambutan tahun ini turut mengetengahkan kepelbagaian budaya dan perpaduan sebagai kekuatan masyarakat Sabah.
Menurutnya, kepelbagaian etnik, agama, adat resam dan budaya di Sabah perlu terus diraikan sebagai asas perpaduan serta menjadi contoh bahawa perbezaan mampu menyatukan masyarakat.
“Walaupun kita mempunyai bangsa yang berbilang dan agama yang berlainan, kepelbagaian ini menjadi kekuatan kepada kita kerana kita mempunyai satu kesatuan yang mungkin jarang boleh ditemui di tempat-tempat lain.
“Kita tetap bersatu dalam meraikan titik-titik persamaan serta menghayati kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, lokasi sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang pada asalnya dirancang di Padang Merdeka dipindahkan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain mengambil kira aspek keselamatan.
Jafry berkata, lokasi tertutup itu memberi kelebihan dari segi kawalan keselamatan dan akses, selain memberikan keselesaan kepada orang ramai sekiranya berlaku hujan.
“Saya ingat tahun 2024, kalau tidak silap, pada masa itu hujan dan ia menyusahkan orang ramai. Beberapa hari kebelakangan ini pun hujan sahaja.
“Jadi kerajaan negeri memutuskan untuk kita adakan di SICC,” katanya.
Sambutan kemuncak pada 16 September ini dijadualkan bermula sekitar jam 8 malam, dengan orang ramai dijangka mula hadir seawal jam 6 petang.
Jafry berkata, sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan.
“Saya jemput semua warga Malaysia yang berada di Sabah, sama ada dari Kota Kinabalu ataupun daerah dan pekan yang berdekatan, untuk datang beramai-ramai dan sama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia.
“Lebih penting, kita sama-sama menghayati apa erti kemerdekaan yang seharusnya menjadikan kita lebih berjaya serta lebih menyayangi negeri dan negara kita,” katanya.
Beliau berkata, beberapa program pengisian turut dilaksanakan menjelang acara kemuncak, antaranya pameran sejarah berkaitan sambutan kemerdekaan oleh Jabatan Arkib Negeri Sabah, bacaan Yasin dan solat hajat serta Program Kembara Merdeka.
Pada acara kemuncak di SICC nanti, pelbagai persembahan kebudayaan dan artis tempatan turut dijadualkan, dengan penglibatan pelbagai elemen kebudayaan Sabah yang diselaraskan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Dalam pada itu, Jafry berkata parkir di SICC disediakan secara percuma kepada pengunjung, namun berdasarkan konsep first come, first served.
Sementara itu, lebih 160 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan.
Katanya, tiada penutupan jalan akan dilaksanakan tahun ini memandangkan sambutan diadakan di SICC, sebaliknya kawalan lalu lintas akan dilakukan bagi melancarkan pergerakan orang ramai.
Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan akan berlangsung di Kuching, Sarawak, manakala Sabah dijangka menjadi tuan rumah sambutan peringkat kebangsaan pada tahun hadapan.






