Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

66 emas bukti komitmen kontinjen Para SUKMA Sabah

Read Time:1 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU: Kejayaan kontinjen Para SUKMA Sabah mencapai sasaran 66 pingat emas membuktikan komitmen tinggi atlet negeri itu untuk mengharumkan nama Sabah di pentas sukan kebangsaan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian tersebut amat membanggakan kerana sasaran yang ditetapkan akhirnya berjaya direalisasikan.

Menurutnya, kejayaan meraih emas ke-66 bukan sahaja menjadi pencapaian kepada atlet, malah menggambarkan hasil kerja keras secara kolektif membabitkan jurulatih, pegawai dan semua pihak yang terlibat dalam persiapan kontinjen.

“Alhamdulillah, emas ke-66! Tahniah kepada atlet Para SUKMA Sabah yang berjaya menghadiahkan pingat emas ke-66 buat kontinjen kita hari ini.

“Dengan kejayaan ini, sasaran 66 pingat emas Para SUKMA Sabah akhirnya berjaya kita capai,” katanya.

Nizam berkata, kejayaan itu wajar diberikan penghargaan kepada semua yang memainkan peranan dalam memastikan atlet Sabah mampu memberikan prestasi terbaik sepanjang temasya.

“Saya amat bangga dengan seluruh atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang bekerja keras di belakang tabir.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha dan pengorbanan kita bersama,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh atlet Sabah supaya tidak menjadikan pencapaian sasaran berkenaan sebagai noktah, sebaliknya meneruskan perjuangan untuk memberikan yang terbaik dalam baki pertandingan.

“Tahniah Kontinjen Para SUKMA Sabah! 66 emas sudah dalam genggaman. Syabas dan teruskan perjuangan!” katanya.

LEAVE A RESPONSE