Read Time:1 Minute, 50 Second
KOTA KINABALU: Malaysian Medical Association (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji semula dan menambah baik Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi menarik serta mengekalkan lebih ramai doktor dan petugas kesihatan di Sabah.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang, berkata BIW perlu dilihat bukan sekadar sebagai elaun, sebaliknya instrumen dasar tenaga kerja yang mengambil kira cabaran kewangan, geografi dan sosial petugas yang berkhidmat jauh dari tempat asal.
Gesaan itu dibuat susulan hanya 20 daripada 39 pegawai perubatan yang ditempatkan di Sabah dalam pengambilan Jun lalu melaporkan diri, manakala 19 lagi tidak mengambil penempatan berkenaan.
Katanya, KKM turut melaporkan kekurangan 3,557 jawatan kesihatan yang masih belum diisi di Sabah, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh strategi pengambilan dan pengekalan tenaga kerja.
“Sabah tidak mampu untuk terus kehilangan hampir separuh daripada doktor yang cuba ditempatkan untuk berkhidmat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Brandon berkata, isu pengekalan pakar juga membimbangkan apabila hanya 12 pakar melaporkan diri untuk bertugas di Sabah pada 2025, berbanding 57 pakar yang berpindah keluar dari negeri ini.
Katanya, KKM perlu mempertimbangkan laluan kemajuan kerjaya yang lebih kompetitif, peluang kenaikan pangkat termasuk ke gred JUSA serta kajian semula elaun dan insentif pakar yang berkhidmat di Sabah.
Dalam pada itu, MMA Sabah mengalu-alukan usaha KKM menaik taraf infrastruktur kesihatan, termasuk pembinaan semula klinik daif serta peruntukan segera RM4.3 juta kepada Hospital Tambunan, Hospital Ranau dan Hospital Kota Belud.
MMA Sabah turut menyokong pendigitalan perkhidmatan kesihatan, namun menegaskan teknologi tidak boleh menggantikan keperluan terhadap doktor, pakar, jururawat dan petugas kesihatan lain.
Menurut Dr Brandon, usaha memperkukuh kesihatan di Sabah juga memerlukan pendekatan seluruh kerajaan dengan penambahbaikan jalan raya, bekalan elektrik, air bersih dan pendidikan, khususnya bagi komuniti luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata, MMA Sabah menghargai komitmen Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang terus memberi perhatian kepada isu kesihatan di Sabah, termasuk melalui lawatan kerja dan Program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan baru-baru ini.
MMA Sabah berharap kerjasama dengan KKM dapat diteruskan bagi memastikan Sabah bukan sahaja mempunyai fasiliti kesihatan yang lebih baik, tetapi turut mempunyai tenaga profesional yang mencukupi serta dasar dan insentif yang mampu menarik mereka untuk datang, kekal dan membina kerjaya di negeri ini.






