Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU : Orang ramai di sekitar Kota Kinabalu dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan Indeks Sinaran Ultraviolet (UV) yang mencapai tahap ekstrem hari ini.
Berdasarkan bacaan Stesen Pemantauan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kota Kinabalu, indeks UV meningkat daripada tahap sederhana pada sebelah pagi sebelum melonjak ke tahap tinggi dan seterusnya sangat tinggi menjelang tengah hari.
Bacaan sekitar jam 9 hingga 10 pagi menunjukkan indeks UV berada pada skala antara enam hingga tujuh, sebelum meningkat kepada tahap sangat tinggi dengan bacaan mencecah 10 sekitar jam 11 pagi.
Bacaan tertinggi kemudian direkodkan sekitar jam 1 petang apabila indeks UV melebihi 11, sekali gus memasuki kategori Ekstrem.
Pendedahan berlebihan kepada sinaran UV pada tahap tinggi dan ekstrem boleh meningkatkan risiko selaran matahari, kerosakan mata serta masalah kesihatan kulit dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, orang ramai, khususnya mereka yang melakukan aktiviti luar, dinasihatkan supaya mengehadkan pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari, terutama antara jam 11 pagi hingga 3 petang.
Orang ramai juga digalakkan menggunakan pelindung matahari dengan sekurang-kurangnya SPF 30, memakai cermin mata hitam yang mempunyai perlindungan UV serta topi bertepi lebar ketika berada di luar.
Selain itu, pemakaian pakaian berlengan panjang, longgar dan diperbuat daripada fabrik yang mempunyai tenunan rapat turut disarankan bagi membantu mengurangkan pendedahan kulit kepada sinaran UV.
Orang ramai juga perlu memastikan pengambilan air yang mencukupi sepanjang hari bagi mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan risiko masalah berkaitan cuaca panas.
Langkah-langkah pencegahan ini penting terutama bagi kanak-kanak, warga emas serta individu yang perlu berada di luar dalam tempoh yang panjang.






