Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ranau semakin jadi tumpuan jenama dan usahawan

Read Time:1 Minute, 26 Second

RANAU: Kehadiran pelbagai produk dan jenama berkonsepkan popular di daerah ini mencerminkan perkembangan sektor perniagaan yang semakin rancak, sekali gus mengukuhkan potensi Ranau sebagai antara daerah yang semakin mendapat perhatian pengusaha dan usahawan.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata perkembangan berkenaan menunjukkan Ranau mempunyai potensi besar dalam sektor perniagaan, selaras dengan kemajuan ekonomi dan pembangunan yang semakin berkembang.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, keyakinan pengusaha tempatan dan luar daerah memilih Ranau sebagai lokasi perniagaan membuktikan daerah itu mempunyai prospek ekonomi yang baik, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong.

“Pemilihan daerah ini sebagai lokasi perniagaan membuktikan Ranau mempunyai ekonomi yang baik, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong.

“Pada masa sama, pengusaha perlu memastikan mutu produk serta perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan,” katanya ketika merasmikan pembukaan Kopi Saigon x Nasi Kak Wok Jee Harris di Pekan Ranau, pada Sabtu.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, aspek perkhidmatan perlu diberikan keutamaan kerana layanan yang baik kepada pelanggan merupakan antara faktor penting dalam memastikan sesebuah perniagaan terus mendapat kepercayaan pengguna.

Menurutnya, selain perkhidmatan, penyediaan makanan yang memenuhi standard ditetapkan turut penting bagi memberikan pengalaman dan nilai yang sewajarnya kepada pelanggan.

Beliau berkata, pertambahan perniagaan dan jenama di Ranau juga memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan kualiti serta daya saing masing-masing.

Masidi turut berharap kehadiran pelbagai perniagaan berjenama di daerah berkenaan dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berinovasi serta meneroka peluang perniagaan di daerah lain di Sabah.

“Pertambahan aktiviti komersial di Ranau bukan sahaja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE