Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sukan jadi medium dekati belia, sampaikan mesej antidadah

Read Time:1 Minute, 15 Second

RANAU: Aktiviti sukan terus dimanfaatkan sebagai medium mendekati golongan belia selain menyampaikan mesej pencegahan penyalahgunaan dadah menerusi penganjuran Kejohanan Futsal Tertutup Ranau 2026, Piala Pengerusi Skuad Antidadah Ranau.

Kejohanan anjuran Skuad Antidadah Ranau yang berlangsung pada Sabtu di Ranau Extreme Futsal, Marakau, itu menghimpunkan 16 pasukan dari daerah berkenaan.

Pengerusi Skuad Antidadah Ranau, Mohd Syukri Saridih berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar menyediakan ruang kepada golongan belia untuk beriadah, malah menjadi platform menyampaikan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, penglibatan belia dalam aktiviti sukan yang sihat dan positif mampu membantu membentuk disiplin, semangat berpasukan, keyakinan diri serta jati diri.

“Pada masa sama, aktiviti seperti ini dapat menggalakkan golongan belia mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat dan menjauhi gejala sosial serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, sukan juga mampu menjadi pendekatan berkesan dalam membina hubungan dan mengeratkan persahabatan dalam kalangan belia tanpa mengira latar belakang.

Kejohanan berkenaan turut menyaksikan persaingan sengit antara 16 pasukan yang mengambil bahagian, selain menyemai semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama sepanjang pertandingan.

Kejohanan itu dianjurkan dengan kerjasama Gabungan Belia Ranau, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ranau dan Ranau Extreme Futsal.

Dalam saingan berkenaan, WNB X Tabaru dinobatkan sebagai johan, manakala Desa muncul naib johan dan Liwagu A menduduki tempat ketiga.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat diteruskan sebagai usaha memperluas pendekatan pencegahan penyalahgunaan dadah melalui aktiviti kemasyarakatan dan sukan.

Ia sekali gus dapat menggalakkan lebih ramai belia di daerah ini memilih gaya hidup sihat serta memainkan peranan bersama dalam membina komuniti yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.

LEAVE A RESPONSE