Read Time:1 Minute, 30 Second
Oleh Normimie Diun
PUTATAN: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata beliau masih mempunyai masa untuk mempertimbangkan kedudukannya dalam arena politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang semakin hampir.
https://www.facebook.com/share/v/1D2EBHT3qr
Katanya, dengan tempoh lebih tiga minggu lagi sebelum hari penamaan calon, beliau belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai langkah politik seterusnya.
“Hari penamaan calon lebih kurang tiga minggu daripada sekarang. Dalam politik, tiga minggu adalah satu tempoh yang agak lama. Macam-macam boleh berlaku.
” Apa yang penting, keputusan yang dibuat nanti mesti untuk kebaikan dan berasaskan mandat rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Insentif Atlet Kontinjen Daerah Putatan di pekarangan Pejabat Daerah Putatan, petang Jumaat.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyat yang bertanding atas tiket selain Barisan Nasional (BN), Shahelmey yang juga menyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata beliau mengambil maklum perkara itu.
“Itu kenyataan daripada setiausaha agung. Saya ambil maklum dan perkara ini masih dalam pertimbangan. Masih banyak masa untuk membuat keputusan,” katanya ringkas.
Shahelmey turut ditanya sama ada beliau menerima sebarang tawaran daripada mana-mana pihak untuk bertanding, namun enggan mengulas lanjut.
“Itu tak payahlah diceritakan. Kita tunggu masa sesuai,” katanya sambil menambah keputusan akhir hanya akan dibuat apabila tiba waktunya.
Dalam majlis itu, beliau turut memuji pencapaian cemerlang kontinjen Daerah Putatan pada Sabah Games ke-11 (SAGA XI) 2025 di Tawau baru-baru ini yang berjaya membawa pulang 12 pingat emas, berbanding empat emas pada tahun lalu.
“Pencapaian ini amat membanggakan. Sebagai menghargai usaha atlet kita, hari ini kita serahkan insentif sebagai dorongan untuk mereka terus mencapai kecemerlangan di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Majlis itu turut menyampaikan insentif kepada atlet yang memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam temasya tersebut.






