Read Time:1 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Sabah mahu lebih banyak karya kreatif yang mengangkat budaya, identiti dan keunikan tempatan sebagai kekuatan penceritaan, bukan sekadar menjadikan negeri ini sebagai lokasi penggambaran.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kandungan yang dihasilkan penggiat kreatif tempatan mampu memperkenalkan Sabah kepada khalayak yang lebih luas.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri dari segi alam semula jadi, kepelbagaian masyarakat, adat dan budaya, makanan serta pelbagai lokasi yang mempunyai nilai visual dan penceritaan.
“Apabila semua ini diketengahkan melalui filem, drama atau telemovie, kita bukan sekadar menghasilkan sebuah cerita, tetapi pada masa yang sama memperkenalkan Sabah kepada penonton.
“Kadangkala seseorang yang tidak pernah datang ke Sabah boleh tertarik untuk mengenali negeri ini hanya kerana melihat keindahan lokasi, budaya dan kehidupan masyarakat kita melalui sesebuah karya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran penerbitan telemovie “Aku, Kau dan Dia” terbitan Del Films Production di bawah Dana Program TV Borneo di sini pada Khamis.
Nizam berkata, kandungan kreatif mempunyai kekuatan besar untuk bergerak seiring dengan usaha mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan identiti negeri.
Justeru, katanya, penggiat kreatif Sabah perlu berani menghasilkan karya yang menggunakan keunikan tempatan bukan hanya sebagai latar belakang, tetapi menjadikan Sabah sebahagian daripada kekuatan penceritaan.
“Sebab itu saya berharap lebih banyak penggiat kreatif kita berani menghasilkan karya yang menggunakan Sabah bukan hanya sebagai latar belakang, tetapi menjadikan Sabah sebahagian daripada kekuatan penceritaan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata, karya tempatan perlu mampu mengangkat budaya dan keunikan Sabah, namun pada masa sama mempunyai penceritaan yang bersifat universal supaya dapat diterima oleh penonton di luar Sabah.
“Kita mahu karya yang mengangkat budaya dan keunikan tempatan, tetapi pada masa yang sama mempunyai penceritaan yang universal serta boleh diterima oleh penonton di luar Sabah.
“Kita tidak mahu karya Sabah hanya ditonton oleh orang Sabah. Kita mahu karya yang lahir dari Sabah boleh ditonton dan dihargai oleh seluruh Malaysia, malah pada masa hadapan mampu menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya. – SABAH MEDIA






