Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MUIS sasar kutipan zakat RM140 juta tahun ini

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM140 juta tahun ini, selaras dengan usaha memperkukuh pengurusan zakat dan meningkatkan manfaatnya kepada golongan asnaf di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr  Mohd Arifin Mohd Arif, berkata MUIS berharap lebih banyak pihak perniagaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tampil menunaikan zakat perniagaan bagi membantu meningkatkan jumlah kutipan zakat di Sabah.

“Setakat bulan Ogos tahun ini, kita berjaya mengutip zakat sebanyak RM95 juta dan daripada jumlah ini, zakat perniagaan menyumbang 27.12 peratus daripada keseluruhan kutipan, manakala zakat penggajian menjadi penyumbang terbesar dengan 47 peratus.

Arifin Arif

“Kita berharap akan lebih ramai atau lebih banyak lagi pihak-pihak perniagaan termasuk GLC untuk menunaikan zakat perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat THP Sabaco Sdn Bhd (THP Sabaco) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Arifin yang juga Exco Agama berkata, hasil kutipan zakat akan diagihkan kepada golongan asnaf yang layak, termasuk bagi membantu pembangunan pendidikan anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian di luar negara.

“Zakat-zakat perniagaan dan semua zakat ini kita agih-agihkan kepada asnaf, khususnya untuk pembangunan pendidikan.

“Hampir 200 anak Sabah ditaja MUIS untuk melanjutkan pengajian di Mesir, manakala lebih 20 anak Sabah menerima dermasiswa bagi melanjutkan pengajian di Jordan,” katanya.

Menurut beliau, MUIS akan terus memastikan pengurusan dana zakat dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab supaya kutipan yang diterima dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Katanya, antara penerima manfaat zakat termasuk golongan fakir miskin dan mualaf, selain bantuan dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan peluang anak-anak Sabah melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

MUIS turut menggalakkan pihak perniagaan dan GLC di Sabah untuk melaksanakan tanggungjawab membayar zakat perniagaan sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkasa kebajikan serta pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam di negeri ini.

LEAVE A RESPONSE