Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pembangunan mualaf perlu melangkaui bimbingan asas agama – Tun Musa

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Usaha memperkasa golongan mualaf perlu bergerak lebih jauh daripada aspek bimbingan asas agama selain perlu melihat pembangunan mualaf secara menyeluruh meliputi pelbagai bidang.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkata, ia termasuklah bidang pendidikan, kemahiran, kerjaya, keusahawanan, kebajikan keluarga serta pembangunan kepimpinan.

“Kita tidak mahu melihat saudara kita mualaf selama-lamanya berada dalam kedudukan sebagai penerima bantuan. Kita ingin melihat mereka menjadi pendakwah, pendidik, profesional, usahawan, pemimpin masyarakat dan agen perubahan yang mampu membantu saudara mualaf yang lain.

“Saya berharap apabila para peserta kembali ke negeri masing-masing nanti, saudara-saudari membawa bersama bukan sahaja kenangan tentang keindahan negeri Sabah, tetapi juga persahabatan baharu, pengalaman baharu dan semangat baharu untuk terus istiqamah dalam kehidupan sebagai seorang muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tautan Bayu Ijtimak Amal Islami Mualaf Madani (IJMAM) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Bankuasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Khamis.

Tun Musa berkata, pihaknya turut menyeru seluruh masyarakat agar terus memelihara keharmonian dan semangat hormat menghormati yang menjadi atas kekuatan negara.

Menurutnya, nilai itu amat penting di Sabah dimana kepelbagaian yang ada di negeri ini menjadi kekuatan dalam membina sebuah negeri yang maju, aman, makmur dan sejahtera.

Terdahulu, Tun Musa berkata, seorang mualaf bukanlah sekadar melalui proses melafazkan dua kalimah syahadah, malah ia merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan baharu yang memerlukan ilmu, bimbingan, kekuatan jiwa dan sokongan masyarakat.

“Kita harus memahami hakikat bahawa perjalanan setiap Mualaf adalah berbeza. Ada yang melalui proses penerimaan keluarga dengan mudah, namun ada juga yang berhadapan dengan cabaran hubungan kekeluargaan, penyesuaian budaya, ekonomi, pendidikan agama dan penerimaan masyarakat.

“Atas sebab itulah, tanggungjawab menjaga kebajikan mualaf tidak seharusnya diletakkan kepada institusi agama semata-mata. Ia merupakan tanggungjawab bersama bagi semua umat Islam,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE