Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tambang penerbangan tinggi boleh jejas Tahun Melawat Sabah 2027

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan wajar mempertimbangkan bantuan atau subsidi bersasar bagi menangani kenaikan tambang penerbangan dan kos bahan api yang boleh menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Bekas Pengerusi MATTA Sabah, Mohd Azlan Saleh Abd Salam, berkata kos perjalanan yang tinggi boleh menyebabkan pelancong memilih destinasi lain di rantau ini yang menawarkan harga lebih kompetitif.

Katanya, tambang penerbangan Kuala Lumpur–Kota Kinabalu (KUL-BKI) kini dalam sesetengah keadaan hampir menyamai tambang ke destinasi antarabangsa.

“Berdasarkan semakan indikatif, tambang asas pergi balik kelas ekonomi KUL-BKI sekitar RM471, manakala Kuala Lumpur-Jakarta sekitar RM487.

“Perbezaan yang kecil ini menyebabkan pengguna mula membandingkan destinasi yang menawarkan nilai lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Azlan, keadaan itu perlu diberi perhatian terutama ketika musim cuti sekolah, perayaan dan musim puncak kerana tambang penerbangan merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelancong.

Pada masa sama, beliau berkata peningkatan kos petrol dan diesel turut memberi tekanan kepada pengusaha bas persiaran, van, bot dan pengangkutan pelancongan.

“Pengusaha tidak mampu menyerap kenaikan kos operasi tanpa had dan akhirnya kos tersebut mungkin dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga pakej.

“Kerajaan wajar mempertimbangkan bantuan atau subsidi bahan api secara bersasar kepada pengusaha pelancongan berlesen, khususnya bas persiaran, van dan bot pelancong,” katanya.

Beliau berkata bantuan berkenaan perlu dilaksanakan secara telus dan bersyarat serta dipantau bagi memastikan manfaatnya benar-benar membantu menstabilkan harga pakej pelancongan.

Azlan turut mengingatkan bahawa Sabah bukan sahaja bersaing dengan destinasi dalam negara, malah berdepan persaingan daripada Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Promosi yang hebat perlu disokong dengan akses penerbangan yang mencukupi dan mampu dibayar.

“Jangan sampai pelaburan besar untuk Tahun Melawat Sabah 2027 tidak mencapai hasil kerana pelancong memilih destinasi lain akibat kos perjalanan yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, industri pelancongan Sabah menjana RM13.7 bilion pada 2024, bersamaan 12 peratus daripada ekonomi negeri dan menyokong kira-kira 387,600 pekerjaan.

Beliau menggesa kerajaan terus berunding dengan pemain industri serta menggunakan data sebenar sektor pelancongan dalam merangka langkah menangani kos penerbangan dan operasi.

“Persaingan hari ini bukan hanya mengenai keindahan destinasi, tetapi turut melibatkan akses penerbangan, harga, kemudahan dan nilai keseluruhan yang diterima pelancong.

“Jika isu tambang penerbangan dan kos bahan api ditangani dengan segera, Tahun Melawat Sabah 2027 mampu menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

LEAVE A RESPONSE