Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan melupuskan dadah bernilai RM120.43 juta yang membabitkan 5,732 kertas siasatan dalam satu proses pelupusan di Negeri Sembilan, bulan ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, pelupusan barang kes oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah itu melibatkan pelbagai jenis dadah dengan jumlah keseluruhan lebih 1,014 kilogram.
Katanya, antara dadah yang akan dilupuskan ialah syabu seberat 370,223.042 gram, mitragynine (609,669.2 gram), kokain (24,104.15 gram), ketamin (3,518.04 gram), ganja (2,970.17 gram), Eramin 5 (14.95 gram) dan heroin (0.2 gram).
“Nilai rampasan dadah yang akan dilupuskan dianggarkan RM120,429,666.49 dan melibatkan 5,732 kertas siasatan.
“Pelupusan ini membabitkan barang kes yang dirampas dalam pelbagai operasi PDRM Sabah, termasuk kes yang telah selesai siasatan dan mendapat arahan untuk pelupusan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jauteh berkata, proses pelupusan dadah bagi Kontinjen Sabah dilaksanakan di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan, mengikut garis panduan pelupusan barang kes yang ditetapkan melalui PTKPN D207.
Menurutnya, proses itu membabitkan beberapa prosedur ketat bermula dengan arahan pelupusan oleh Timbalan Pendakwa Raya sebelum barang kes dihantar ke tapak pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd.
“Pergerakan barang kes bermula hari ini (1 September) selepas sidang media ini dengan proses pembungkusan dan penghantaran dari Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu ke Pelabuhan Klang, Selangor.
“Kapal dijangka tiba pada 11 September, manakala majlis pelupusan rasmi dijadualkan pada 14 September,” katanya.
Dalam pada itu, Jauteh berkata, PDRM Sabah sedang berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkaitan bagi melihat kemungkinan pelaksanaan pelupusan dadah di Sabah pada masa akan datang.
Katanya, langkah itu berpotensi mengurangkan kos dan risiko penghantaran barang kes ke Semenanjung, namun beberapa faktor termasuk kesan terhadap kawasan yang dijadikan tapak pelupusan perlu dipertimbangkan.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan perkembangan kes membabitkan Op Bayu 1 hingga Op Bayu 14.
“Daripada 14 operasi yang telah dilaksanakan, 12 daripadanya sudah dibawa ke mahkamah selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dibincangkan dengan Pejabat Peguam Negara.
“Kes berkenaan kini sedang dan telah dituduh di mahkamah serta dalam proses perbicaraan,” katanya.






