Read Time:1 Minute, 22 Second
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak dan menyerahkan bantuan RM3,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.
Bantuan itu membabitkan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
“Saya ingin umumkan bahawa kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR warganegara untuk meringankan bebanan mereka, RM1,000 daripada Kerajaan Negeri, RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 daripada YKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa kebakaran Numbak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas di sini, pada Isnin.

Seramai 110 KIR, kesemuanya warganegara Malaysia, terjejas akibat kebakaran Kampung Numbak, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai dan 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas.
Hajiji turut mengumumkan bahawa Kerajaan akan membantu mangsa warganegara dengan menyediakan peralatan yang diperlukan bernilai RM20,000 untuk setiap KIR warganegara yang terjejas bagi membina semula rumah mereka yang musnah akibat kebakaran itu.
Katanya, urusan pembinaan semula rumah akan dikendalikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, termasuk menentukan sama ada rumah berkenaan dibina di kawasan lain atau di lokasi asal.
Beliau berkata, bantuan peralatan untuk membina rumah akan diberikan kepada setiap KIR warganegara, sebagaimana pendekatan bantuan yang diberikan kepada mangsa kebakaran di kawasan lain seperti di Kudat baru-baru ini.
Sementara itu Hajiji berkata. atas dasar kemanusiaan, Kerajaan turut akan menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warganegara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan lain. – SABAH MEDIA






