Read Time:1 Minute, 18 Second
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin, menyeru agar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah diperkukuh dalam semangat perpaduan dan keikhlasan bagi memastikan hak-hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dipertahankan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman mahkamah berhubung perkara itu.
“Saya mengambil maklum komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan segala perkara tertunggak berkaitan MA63, memperkukuh kadar Pemberian Khas untuk Sabah, serta meningkatkan peruntukan tahunan bagi tujuan operasi dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chan berkata demikian susulan penerangan khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam berhubung isu Pemberian Khas kepada Sabah, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu baru-baru ini.
Beliau turut mencadangkan agar Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMTPMA63) diberikan mandat untuk mengetuai proses semakan tuntutan 40 peratus hasil bersih persekutuan yang diperoleh daripada Sabah, dalam tempoh 90 hari seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi.
Katanya, usaha sedang dijalankan bagi merumuskan kaedah baharu untuk menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan, sejajar dengan semangat MA63 dan keadilan fiskal antara negeri serta Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa yang sama, Chan menegaskan sudah tiba masanya bagi Kementerian Kewangan mendedahkan jumlah sebenar hasil persekutuan yang diperoleh daripada Sabah, bagi menjamin ketelusan dan mengelakkan salah faham mana-mana pihak.
“Detik ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama Persekutuan–Negeri, serta memperteguh komitmen bersama terhadap pembangunan saksama untuk rakyat Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA