Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

RM1.2 bilion lonjak usaha stabilkan bekalan elektrik Sabah – Sabah Electricity

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menyambut baik pengumuman peruntukan RM1.2 bilion oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 bagi menstabilkan bekalan elektrik di Sabah, yang disifatkan sebagai langkah positif dan memberangsangkan untuk masa depan tenaga negeri itu.

Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz, berkata peruntukan berkenaan akan membantu mempercepat pelaksanaan Sabah Energy Roadmap dan Masterplan, sekali gus memperkukuh keupayaan tenaga negeri secara menyeluruh.

“Kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana ini adalah salah satu pengumuman dalam bajet yang sangat positif. Dengan bajet ini, kita boleh mencapai sasaran meningkatkan reserve margin kepada 30 peratus serta mencapai System Average Interruption Duration Index (SAIDI) kepada 100 minit menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Sabah Electricity Vendor Day 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Menurutnya, pengumuman itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada Sabah Electricity, malah turut membuka peluang kepada vendor-vendor tempatan untuk turut serta dalam usaha memperkukuh infrastruktur tenaga Sabah.

“Vendor memainkan peranan besar dalam memastikan pelaksanaan roadmap tenaga berjalan lancar. Kami amat menghargai peranan mereka sebagai rakan strategik dalam membantu Sabah Electricity mencapai matlamat masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Saadiah turut menekankan bahawa SESB mengutamakan nilai integriti dan ketelusan dalam proses pemilihan vendor bagi memastikan semua pihak diberi peluang sama rata.

“Kita mempunyai sistem pendaftaran vendor yang tersusun. Setakat ini, terdapat hampir 4,000 vendor berdaftar dengan Sabah Electricity, namun hanya sekitar 1,400 yang aktif menyertai tender-tender kami. Semua proses tender dilaksanakan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat bagi memastikan ketelusan,” jelasnya.

Daripada jumlah vendor aktif itu, kira-kira 30 peratus terdiri daripada vendor tempatan Sabah, mencerminkan komitmen Sabah Electricity dalam memperkasa penyertaan syarikat tempatan dalam sektor tenaga negeri.

Saadiah turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas kerjasama erat dalam usaha mengelektrikkan seluruh Sabah demi manfaat hampir empat juta rakyat termasuk di Labuan.

Terdahulu dalam ucapannya, Saadiah berkata Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah Electricity dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV) merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh daya saing vendor tempatan.

“Kerjasama ini akan menyaksikan satu jalinan strategik dalam memberikan latihan dan pembinaan kapasiti yang menjurus kepada kefahaman terhadap pematuhan piawaian, pensijilan serta peningkatan keupayaan vendor tempatan untuk bersaing. Perjanjian itu akan memberikan manfaat langsung kepada vendor-vendor Sabah Electricity, termasuk dalam aspek latihan, peluang perniagaan serta bimbingan teknikal,” katanya.

Selain itu, Saadiah turut mengumumkan pelancaran Transformasi Digital Platform E-Commerce Sabah Electricity, satu inisiatif baharu bagi memperkukuh ekosistem vendor secara digital dan selaras dengan agenda ekonomi digital negara.

LEAVE A RESPONSE