Read Time:2 Minute, 45 Second
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Hakim Syarie, Datuk Alidin @ Ahmad Din OKK Othman dan bekas Timbalan Ketua Audit Negara, Datuk Patimah Ramuji, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur rasul 1448H/2026M negeri Sabah bagi kategori lelaki dan wanita.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada sambutan Maulidur Rasul S.A.W. peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, serta barisan Kabinet negeri Sabah.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan, kepimpinan, integriti, kepakaran dan komitmen kedua-dua tokoh dalam bidang masing-masing, selain jasa mereka terhadap pembangunan institusi dan kesejahteraan masyarakat.
Bagi kategori lelaki, Alidin dipilih berdasarkan rekod khidmat bakti beliau dalam memperkasa institusi kehakiman dan perundangan Syariah di Sabah.
Beliau pernah menerajui Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sebagai Ketua Hakim Syarie, jawatan yang meletakkan beliau pada kedudukan penting dalam kepimpinan dan pentadbiran kehakiman Syariah negeri.
Sepanjang kepimpinannya, antara sumbangan signifikan beliau ialah merintis usaha ke arah penubuhan Mahkamah Utama Syariah Sabah.
Beliau turut mengetuai usaha penyelidikan dan penandaarasan bagi memperluas struktur kehakiman Syariah kepada sistem empat peringkat, sekali gus meletakkan asas bagi memperkukuh institusi kehakiman Syariah di Sabah.
Alidin juga memainkan peranan dalam memperkemas pentadbiran serta memastikan keseragaman pelaksanaan undang-undang Syariah, termasuk melalui penglibatan di peringkat kebangsaan bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Di bawah kepimpinan beliau, pengurusan kes membabitkan kekeluargaan, nafkah, mal dan jenayah Syariah turut diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan penyelesaian kes serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Seiring perkembangan teknologi, Alidin turut menyokong pendigitalan sistem kehakiman Syariah menerusi pelaksanaan e-Syariah yang memudahkan urusan pendaftaran, semakan status dan pembayaran berkaitan kes secara dalam talian.
Selain pembaharuan dalam institusi dan perundangan, beliau turut memberikan perhatian terhadap kebajikan, penghargaan dan pembangunan warga kehakiman Syariah.
Usaha meningkatkan motivasi serta komitmen pengamal perundangan dan kakitangan sokongan mahkamah turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian sepanjang tempoh kepimpinan beliau.
Alidin menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Syarie Sabah pada 19 Jun 2023. Bagaimanapun, sumbangan dan legasi beliau terus menjadi sebahagian daripada perkembangan institusi kehakiman Syariah negeri.
Sementara itu, penerima kategori wanita, Patimah Ramuji, merupakan anak jati Sabah yang mempunyai pengalaman selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam bidang pengauditan dan tadbir urus.
Beliau dilahirkan pada 12 September 1965 di Jalan Kuhara, Tawau dan membina kerjaya dalam perkhidmatan awam sehingga mencapai kedudukan kepimpinan tertinggi dalam bidang pengauditan.
Patimah pernah menyandang jawatan Pengarah Audit Negeri Sabah sebelum meneruskan kecemerlangan kerjaya sebagai Timbalan Ketua Audit Negara.
Pencapaian itu mencerminkan keupayaan dan kepakaran beliau dalam menerajui bidang pengauditan, selain komitmen tinggi terhadap prinsip integriti, akauntabiliti dan pengurusan wang awam.
Sumbangan beliau bukan sahaja memberi impak kepada Jabatan Audit Negara, malah turut menyumbang kepada usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kerajaan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Sebagai wanita Sabah yang berjaya mencapai kedudukan tinggi dalam perkhidmatan awam, Patimah turut menjadi contoh dan inspirasi kepada penjawat awam, golongan wanita serta generasi muda.
Keprihatinan beliau terhadap masyarakat turut terserlah menerusi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, khususnya usaha membantu anak yatim dan golongan yang memerlukan.
Penganugerahan kepada kedua-dua tokoh berkenaan menjadi pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam bidang masing-masing, selain mencerminkan nilai kepimpinan dan khidmat bakti yang wajar dicontohi.






