Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bayu Seni 2.0 perkukuh kerjasama budaya BIMP-EAGA, pacu pelancongan kreatif Sabah

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Bayu Seni 2.0 diharap dapat memperkukuh kerjasama budaya serantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), merancakkan pelancongan budaya serta memperkasa bakat dan naratif tempatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, penganjuran Bayu Seni merupakan pelaburan strategik terhadap pemerkasaan ekonomi kreatif dan warisan negeri Sabah dengan tiga harapan utama.

“Bayu Seni 2.0 diharapkan dapat memperkukuh kerjasama serantau BIMP-EAGA dengan menjadikannya sebagai wadah diplomasi budaya yang ampuh di bawah kerangka Socio-Cultural & Education Working Group BIMP-EAGA bagi mengeratkan integrasi seni Nusantara.

“Pada masa sama, penganjuran ini diharapkan dapat merancakkan pelancongan budaya dan ekonomi kreatif Sabah menerusi karya seni berprestij yang mampu menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, Bayu Seni 2.0 diharapkan dapat memperkasa bakat serta naratif tempatan, khususnya dengan meningkatkan keupayaan kurator dan penggiat seni tempatan ke tahap antarabangsa sekaligus memelihara warisan penceritaan akar umbi agar kekal relevan bagi generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bayu Seni 2.0: Cross-Cultural Creative Showcase dan Pembuka Tirai Pesta Tingu Wayang 2026, di Balai Seni Lukis Sabah, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datin Cleopatra @ Clare Asing.

Menurutnya, Bayu Seni 2.0 akan berlangsung bermula Ogos hingga November 2026.

Sementara itu, Pesta Tingu Wayang menjadi pembuka tirai Bayu Seni 2.0 pada 21 hingga 22 Ogos dengan pengisian yang memartabatkan penceritaan Orang Asal menerusi tayangan filem, forum dan bengkel.

LEAVE A RESPONSE