KOTA KINABALU: Seorang pekerja kontraktor maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden ketika kerja-kerja penukaran tiang elektrik berhampiran simpang lampu isyarat menuju ke Taman Mawar, Sandakan, pada 22 Ogos lalu.
Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dalam kenyataan hari ini mengesahkan insiden berkenaan melibatkan dua pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja penukaran tiang elektrik di lokasi tersebut.
Dalam kejadian itu, seorang pekerja meninggal dunia manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Sabah Electricity merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta menyampaikan simpati kepada pekerja yang cedera.
Menurut kenyataan itu, Sabah Electricity memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Semua kerja berkaitan di lokasi kejadian turut dihentikan sementara sehingga siasatan selesai dijalankan.
Sabah Electricity memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan oleh semua pihak yang terlibat, termasuk kontraktor, dalam setiap aktiviti kerja dan operasi.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa keselamatan pekerja dan orang awam kekal menjadi keutamaan dalam pelaksanaan kerja-kerja berkaitan bekalan elektrik.






