Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

AWCL : Sabah FA sedia hadapi cabaran tiga pasukan terbaik Asia

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sabah FA bakal berdepan cabaran sengit apabila turun beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026 menentang tiga pasukan yang disifatkan antara terbaik di Asia.

Ketua Jurulatih Sabah FA, Bobbey Gonzales, berkata pasukannya sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan daripada Rovers FC dari Guam, East Bengal FC dari India dan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh yang akan bersaing di Stadium Likas bermula esok.

Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan sebagai wakil negara dalam kejohanan berprestij itu, beliau yakin anak buahnya mampu memberikan tentangan sengit kepada setiap lawan yang dihadapi.

“Sudah semestinya ada banyak tekanan kerana kita tahu pasukan yang datang ke sini dari Bangladesh, India dan Guam adalah pasukan yang berkualiti serta mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kita menganggap mereka antara pasukan terbaik di Asia dan sebab itu kami perlu membuat persiapan yang lebih teratur untuk memastikan Sabah FA mampu bersaing,” katanya pada sidang media kejohanan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, fokus utama pasukan ketika ini adalah mengkaji kekuatan dan kelemahan setiap lawan bagi membolehkan strategi terbaik dirangka sebelum perlawanan berlangsung.

Katanya, barisan kejurulatihan turut menggunakan beberapa aksi persahabatan sebagai medan menguji keserasian pemain selain memperkemaskan aspek taktikal menjelang kejohanan.

“Persiapan kita berjalan dengan baik. Selain mengadakan perlawanan persahabatan, kita juga memberi perhatian kepada aspek keserasian dan semangat berpasukan supaya setiap pemain dapat memahami peranan masing-masing di atas padang,” katanya.

Bobbey berkata, walaupun Sabah FA berdepan kekangan apabila 11 pemain sedang mewakili Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, situasi itu tidak menjejaskan fokus pasukan untuk memberikan aksi terbaik.

Menurutnya, semua pemain yang berada dalam skuad AWCL menunjukkan komitmen tinggi sepanjang tempoh persiapan dan bersedia memikul tanggungjawab membawa cabaran pasukan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Sabah FA menggunakan sepenuhnya kuota enam pemain import yang dibenarkan oleh AFC bagi menambah kekuatan skuad menghadapi persaingan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, kapten pasukan, Steffi Sarge Kaur, berkata semua pemain berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi cabaran menentang pasukan-pasukan yang memiliki reputasi besar di peringkat Asia.

“Kami sangat teruja untuk beraksi semula di pentas AFC. Semua pemain sudah bersedia dan kami mahu memberikan persembahan terbaik untuk pasukan serta penyokong.

“Bagi saya, semua pasukan yang bertanding mempunyai kekuatan masing-masing. Sebab itu kami perlu fokus kepada setiap perlawanan dan tidak boleh memandang rendah mana-mana lawan,” katanya.

Steffi berkata, tumpuan pasukan ketika ini terarah kepada aksi pembukaan menentang Rovers FC dari Guam sebelum memikirkan cabaran seterusnya dalam saingan kumpulan.

Beliau percaya pendekatan memberi fokus kepada satu perlawanan pada satu masa akan membantu Sabah FA mengekalkan konsistensi dan meningkatkan peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FA

LEAVE A RESPONSE