Read Time:1 Minute, 7 Second
Oleh Ahmad Husnayan
SEMPORNA: Tiga peniaga di Pasar Ikan Semporna dikenakan kompaun berjumlah RM900 selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan Udang Kara (Lobster) dalam pemeriksaan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Semporna, Dr. Jong Jee Leong, berkata tindakan itu hasil Operasi Bersepadu susulan aduan tular di media sosial berhubung dakwaan pelancong dari China ditipu ketika membeli hasil laut di pasar berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku enam bulan lalu dan hanya dikongsi semula di media sosial pada 21 Oktober lalu.
“Walaupun insiden itu bukan kejadian baharu, atas keprihatinan KPDN untuk melindungi pengguna dan pelancong, pemeriksaan tetap dijalankan bagi memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan turut disertai penguat kuasa Majlis Daerah Semporna dan memeriksa 40 premis perniagaan di sekitar pasar terbabit.
Dr. Jong menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan, terutama yang boleh menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal.
“Peniaga perlu beretika dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan. Kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan keyakinan pengguna dan pelancong terhadap industri tempatan,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan harga atau gangguan bekalan melalui saluran rasmi KPDN seperti talian aduan 1-800-886-800, aplikasi EzADU, atau portal e-Aduan.