KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity) mengesahkan berlaku insiden renjatan elektrik di kawasan Weston, Beaufort, yang mengakibatkan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut pada Khamis.
Sabah Electricity menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga PDRM atas kehilangan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Sabah Electricity berkata pasukan teknikalnya telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima makluman mengenai kejadian bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat.
Menurutnya, pihaknya turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan agensi berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Sabah Electricity menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya.
Sabah Electricity menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa sehingga siasatan selesai serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan.






