Read Time:1 Minute, 38 Second
TAWAU: Kerajaan Sabah terus memperkasa wanita, khususnya di luar bandar, menerusi latihan kemahiran, bantuan peralatan dan sokongan keusahawanan bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi serta kesejahteraan hidup mereka.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang berperanan mengenal pasti wanita yang memerlukan sokongan sebelum menyediakan latihan dan bantuan bersesuaian.
Beliau berkata, jurang ekonomi dalam kalangan wanita di Sabah masih menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani, terutama membabitkan mereka di kawasan luar bandar.
“Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, jurang ekonomi dalam kalangan wanita di Sabah masih besar.
“Kita akan terus mengenal pasti golongan wanita yang belum mendapat manfaat daripada program kerajaan supaya mereka turut berpeluang meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Mesin Jahit dan Tamat Latihan Sesi 1/2026 di Skill Lab Training, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, sembilan peserta yang berjaya menamatkan latihan kemahiran menjahit selama enam bulan menerima sebuah mesin jahit dan sijil penyertaan sebagai sokongan untuk memulakan atau mengembangkan perusahaan masing-masing.
Rina berkata, program latihan kemahiran merupakan antara pendekatan kerajaan bagi melahirkan lebih ramai usahawan wanita dan tenaga kerja mahir yang berdaya saing.
Selain latihan, katanya, JHEWA turut menyediakan bantuan peralatan dan sokongan lain bagi membantu peserta memulakan serta memperluaskan aktiviti ekonomi mereka.
Beliau turut menggalakkan usahawan wanita menubuhkan atau menyertai persatuan berdaftar bagi memudahkan akses kepada pelbagai bantuan serta geran yang disediakan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Melalui persatuan yang berdaftar, mereka mempunyai peluang lebih luas untuk mendapatkan bantuan dan geran bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan cadangan mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Wanita di Pantai Timur Sabah bagi memperluaskan pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan wanita di kawasan berkenaan.
Katanya, pusat itu akan melengkapkan kemudahan sedia ada di Beaufort dan Kota Kinabalu, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada wanita, terutama di luar bandar, untuk mengikuti latihan kemahiran serta meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga.






