Read Time:2 Minute, 10 Second
KOTA KINABALU: PETRONAS terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi pelancaran dua platform digital, iaitu Permohonan Online Pekerjaan dan Latihan Dalam Industri Minyak dan Gas (POMIGAS) serta Sabah Work Pass Online System, hasil kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan dibiayai syarikat itu.
Kedua-dua platform berkenaan dilancarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, sempena Sabah Oil & Gas Industry Talent Alignment Forum (SOGITAF) 2.0, di sini, pada Selasa.
POMIGAS merupakan platform dalam talian yang diintegrasikan dengan Sabah Job Portal bagi memudahkan akses kepada peluang pekerjaan dan latihan dalam industri minyak dan gas, khususnya kepada belia dan graduan Sabah.
Platform itu turut menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir bagi sektor minyak dan gas di negeri ini.
Sementara itu, Sabah Work Pass Online System dibangunkan bagi memudah cara proses permohonan dan pengurusan pas kerja di Sabah.
Melalui platform berkenaan, majikan boleh mengemukakan dokumen, memantau status permohonan serta mempercepatkan proses kelulusan pas kerja menerusi penyelarasan dengan pihak berkuasa buruh dan imigresen berkaitan.
Awang Shahminan berkata, kedua-dua platform itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah.
“Kedua-dua platform ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja industri minyak dan gas di Sabah menerusi peluasan akses dan penyertaan kepada peluang dalam industri, pembangunan bakat tempatan serta pendekatan yang lebih terselaras dalam menghubungkan bakat tempatan dengan keperluan industri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pengurus Besar PETRONAS Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab berkata, PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan melalui pelbagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan negeri.
“PETRONAS akan terus memperkasa potensi bakat tempatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang meningkatkan keupayaan tenaga kerja, memperluas akses kepada peluang dalam industri serta menyokong pembangunan tenaga kerja minyak dan gas yang berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya.
Inisiatif itu dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah, dengan POMIGAS mula beroperasi pada awal tahun ini, manakala Sabah Work Pass Online System dijadualkan mula beroperasi pada 1 September 2026.
Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Sabah, SOGITAF berfungsi sebagai platform yang menghimpunkan Petroleum Arrangement Contractors (PAC) bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kerjasama, meningkatkan pemahaman terhadap keperluan kawal selia serta membincangkan isu berkaitan industri.
Forum itu turut meningkatkan kesedaran mengenai dasar dan prosedur berkaitan bagi menyokong kelancaran operasi industri.






