Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah, Melaka teroka kerjasama bangunkan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya

Read Time:1 Minute, 45 Second

ALOR GAJAH: Sabah dan Melaka meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya sebagai usaha memperkukuhkan daya tarikan pelancongan serta memelihara khazanah sejarah kedua-dua negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama dalam Sesi Libat Urus Strategik bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang berlangsung di Park Royal A Famosa, di sini.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam pemuliharaan tapak warisan, pengurusan muzium, pembangunan industri kreatif serta pertukaran kepakaran antara agensi berkaitan.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada Sabah dan Melaka untuk membangunkan produk pelancongan yang berteraskan warisan dan budaya, sekali gus memperkayakan pengalaman pelawat serta meningkatkan nilai industri pelancongan negara.

“Usaha ini juga dapat memastikan khazanah sejarah dan budaya terus dipelihara serta dimanfaatkan sebagai aset penting pembangunan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Sabah dan Melaka mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh digabungkan bagi menghasilkan produk pelancongan yang lebih unik dan berdaya saing.

Katanya, Sabah terkenal dengan kekayaan biodiversiti, ekopelancongan dan kepelbagaian budaya masyarakat pelbagai etnik, manakala Melaka pula memiliki kelebihan sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO yang kaya dengan sejarah dan warisan.

Beliau berkata, sesi libat urus itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik bagi memperkukuhkan pembangunan sektor pelancongan, warisan dan kebudayaan di kedua-dua negeri.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperluaskan kerjasama melalui promosi pelancongan bersama, pertukaran maklumat teknikal serta pembangunan pakej pelancongan yang menghubungkan destinasi utama di Sabah dan Melaka.

Jafry berkata, kerjasama rentas negeri seperti itu penting bagi memastikan Malaysia terus menawarkan pengalaman pelancongan yang pelbagai, berkualiti dan berdaya saing selaras dengan usaha meningkatkan ketibaan pelancong.

“Saya percaya hubungan erat antara Sabah dan Melaka akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada industri, komuniti setempat dan ekonomi negeri, sekali gus menyumbang kepada agenda pembangunan pelancongan negara secara menyeluruh,” katanya.

Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri barisan kepimpinan, ketua jabatan serta agensi pelancongan, warisan dan kebudayaan Negeri Melaka bagi membincangkan pelbagai inisiatif yang berpotensi dilaksanakan secara bersama pada masa hadapan.

LEAVE A RESPONSE