Oleh Silar Pinikit
SOOK: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook Datuk Ellron Angin, menegaskan bahawa kestabilan politik yang dicapai di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi asas kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, keutuhan politik membolehkan kerajaan menumpukan sepenuhnya kepada agenda pembangunan tanpa terganggu oleh pergolakan atau pertukaran kuasa yang kerap.
“Saya bersama GRS kerana saya percaya hanya kerajaan yang stabil dapat memastikan pembangunan berjalan lancar dan manfaatnya sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tiulon, semalam.
Menurut Ellron, pentadbiran GRS telah menunjukkan kecekapan dalam merancang dasar, menarik pelaburan, dan menyalurkan bantuan secara menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Sook masih mempunyai banyak potensi untuk diterokai, dari segi pertanian, pelancongan, dan ekonomi setempat. Dengan sokongan rakyat dan kestabilan politik, kita mampu menjadikan Sook lebih maju dan makmur,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mengekalkan perpaduan serta menyokong usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Abie Wednes Gamboi, serta pemimpin masyarakat tempatan.- SABAH MEDIA