Read Time:1 Minute, 37 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh seorang remaja perempuan.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Gambu Kumbit, 29, seorang tukang paip, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei 2026.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan dengan niat cuba menyebabkan kematian dengan cara menikam leher mangsa menggunakan pisau pada 7 Mei lalu, kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah tandas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Nosoob, Penampang.
Mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Gambu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke rumah berkenaan untuk mencari kakak sepupu mangsa sebelum mangsa yang berada di dalam tandas memarahinya kerana sering datang menuntut hutang.
Tidak lama kemudian, tertuduh masuk ke dalam tandas sambil memegang sebilah pisau lalu menolak mangsa ke dinding sebelum menikam leher mangsa sebanyak dua kali sehingga mangsa terjatuh di lantai tandas.
Seorang jiran kemudian menemui mangsa sebelum menghubungi talian kecemasan 999 dan mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami luka tikaman di bahagian hadapan leher sehingga mendedahkan otot serta menyebabkan kerosakan pada saluran pernafasan, selain luka koyakan di bahagian kepala.
Mangsa juga terpaksa menjalani prosedur kecemasan bagi membuka saluran pernafasan selepas kaedah intubasi gagal berikutan pendarahan yang banyak. Pegawai perubatan mengesahkan kelewatan mendapatkan rawatan boleh menyebabkan mangsa maut.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan memohon hukuman bermula dari tarikh tangkap atas alasan mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai tukang paip.
Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari @ PG Johari, bagaimanapun, meminta hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tahap keganasan serangan, penggunaan senjata berbahaya, kecederaan parah yang dialami mangsa serta kepentingan hukuman sebagai pengajaran kepada masyarakat.






