Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Sebanyak 299 pain darah berjaya dikumpulkan sepanjang Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) 2026 yang berlangsung selama dua hari di sini baru-baru ini.
Kempen itu menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat dan penutupan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Perubatan II HWKKS, Dr. Fauziah Hanim Hashim, yang mewakili Pengarah HWKKS, Dr. Yogendra Panchalingam.

Dalam ucapan beliau, Dr. Yogendra berkata, setiap sumbangan darah amat bermakna dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Menurutnya, HWKKS memerlukan kira-kira 1,000 unit darah setiap bulan, namun ketika ini hanya mampu mengumpulkan sekitar 500 hingga 600 unit sebulan.
Katanya, sebahagian besar bekalan darah digunakan untuk merawat pesakit thalassemia dan kanser selain kes-kes kecemasan termasuk pendarahan melibatkan ibu mengandung.
Sementara itu, Pengerusi penganjur yang juga Ketua Unit Perubatan Transfusi HWKKS, Dr. Jamaludin Mail berkata, kejayaan mengumpulkan hampir 300 pain darah membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendermaan darah secara sukarela semakin meningkat.

Beliau berkata, penganjuran program di luar kawasan hospital merupakan pendekatan bagi memudahkan orang ramai menyertai kempen derma darah, sekali gus menggalakkan lebih ramai penderma baharu tampil menyumbang.
Menurutnya, sambutan Hari Penderma Darah peringkat HWKKS yang diadakan di 1Borneo Hypermall merupakan satu-satunya program seumpamanya di Sabah yang dianjurkan di luar hospital.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan 1Borneo Hypermall, rakan strategik serta penaja korporat yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.
Kempen bertemakan “Setitis Darah, Demi Kemanusiaan. Derma Darah, Selamatkan Nyawa” itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 32 penderma darah konsisten dan tujuh organisasi penganjur kempen derma darah sebagai penghargaan atas komitmen mereka menyokong usaha menyelamatkan nyawa melalui amalan pendermaan darah.






