Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

FESMOD berpotensi jadi produk pelancongan budaya unggul Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

TUARAN : Festival Mojumbak dan Mongigol-Sumayau Dusun (FESMOD) berpotensi menjadi model pemeliharaan khazanah kebudayaan tidak ketara di Malaysia, sekali gus berkembang sebagai produk pelancongan budaya unggul yang mampu mengangkat warisan dan identiti negeri Sabah ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan terhadap usaha memartabatkan khazanah budaya selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) serta prinsip Konvensyen UNESCO 2003 mengenai Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara.

Beliau berkata, FESMOD bukan sekadar platform pertandingan muzik dan tarian tradisional, malah menjadi satu gerakan pemerkasaan budaya yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat serta penggiat seni dalam usaha memelihara warisan masyarakat Dusun.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu usaha mana-mana pihak termasuk persatuan kebudayaan yang menggabungkan pemeliharaan khazanah, penyelidikan, dokumentasi, inovasi serta pembangunan ekonomi kreatif.

“FESMOD juga berpotensi berkembang sebagai festival khazanah budaya tahunan negeri yang menghimpunkan komuniti adat, penyelidik, institusi pendidikan, industri kreatif dan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah FESMOD Kali Ke-2 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, di sini.

Menurut Hajiji, penganjuran FESMOD tahun ini turut menampilkan kategori baharu iaitu Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Dusun yang bertujuan membuka ruang kepada generasi muda, koreografer dan komposer menghasilkan karya kreatif berasaskan identiti budaya tradisi.

Katanya, inisiatif itu bukan untuk menggantikan tradisi asal, sebaliknya membuktikan warisan budaya mampu berkembang mengikut peredaran zaman tanpa menjejaskan keaslian serta jati dirinya.

Beliau turut menyeru lebih banyak agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan korporat dan pertubuhan masyarakat berganding bahu memperkukuh ekosistem budaya di Sabah agar warisan tersebut terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah, Chong Wai Kit; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Cleopatra @ Clare Asing; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; serta Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki.

LEAVE A RESPONSE