Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Dadah dirampas di Sabah dilupuskan di Negeri Sembilan – Jauteh

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Semua dadah yang dirampas di Sabah tidak dilupuskan di negeri ini, sebaliknya dihantar ke Negeri Sembilan untuk dimusnahkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, perkara itu menjawab persoalan yang sering dibangkitkan orang ramai di media sosial mengenai ketiadaan majlis pelupusan barang kes, khususnya dadah, di Sabah.

“Ramai netizen bertanya kenapa tidak pernah nampak pelupusan barang kes terutama dadah di Sabah. Sebenarnya tiada pelupusan dibuat di Sabah.

“Mengikut SOP, semua barang kes ini akan dibawa ke Semenanjung, iaitu di Negeri Sembilan untuk dilupuskan di sana. Jika orang awam ingin melihat sendiri proses pelupusan itu, mereka boleh berbuat demikian di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Jauteh berkata perhimpunan bulanan itu menjadi platform kepada pucuk pimpinan menyampaikan amanat kepada seluruh warga PDRM Sabah agar terus melaksanakan tugas dengan penuh komitmen, berintegriti serta mematuhi semua peraturan dan SOP yang ditetapkan.

Beliau berkata, walaupun terdapat segelintir pegawai dan anggota yang melakukan pelanggaran disiplin, tindakan sewajarnya akan diambil menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Mengulas pencapaian PDRM Sabah, Jauteh berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya merampas kira-kira 3.7 tan dadah serta menahan lebih 30 individu dalam pelbagai operasi.

Selain itu, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) turut mencatat kejayaan apabila melaksanakan 13 serbuan ke atas pusat panggilan (calling centre) yang beroperasi di Sabah dengan lebih 300 tangkapan direkodkan.

Beliau berkata, Cawangan Khas pula berjaya meneutralkan pelbagai ancaman keselamatan termasuk tindakan terhadap kumpulan agama yang menyeleweng, manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam penguatkuasaan masing-masing.

“Secara keseluruhannya, keadaan keselamatan di Sabah adalah terkawal dan tiada sebarang ancaman yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat. Keadaan ini adalah hasil komitmen PDRM bersama agensi penguatkuasaan lain,” katanya.

Menyentuh operasi terhadap penempatan setinggan, Jauteh berkata operasi bersepadu membanteras penyambungan haram bekalan air akan diteruskan dengan kerjasama Jabatan Air Sabah dan agensi berkaitan.

Katanya, operasi yang bermula pada 15 Julai lalu itu memfokuskan kawasan dari Alam Mesra hingga Tamparuli, melibatkan penempatan setinggan serta premis yang disyaki membuat sambungan haram.

“Setakat ini, empat individu telah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian air dan kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Air Sabah untuk siasatan lanjut,” katanya.

LEAVE A RESPONSE