Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

DUN Sabah: Tapak projek naik taraf Hospital Ranau sedang dikenal pasti

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Projek naik taraf Hospital Ranau yang membabitkan pembinaan blok klinikal baharu masih di peringkat mengenal pasti cadangan tapak tanah yang sesuai.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal, berkata bagi menangani kekurangan doktor dan kakitangan kesihatan di luar bandar, termasuk di Paginatan, kementeriannya melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memperkenalkan perkhidmatan hospital kluster.

“Pendekatan ini menggabungkan beberapa hospital/klinik berhampiran (hospital/klinik berpakar dan bukan pakar) untuk berkongsi sumber, kepakaran dan fasiliti.

“Sebagai opsyen pesakit-pesakit boleh juga mendapatkan rawatan di klinik-klinik berdekatan seperti Klinik Desa Bongkud, Klinik Desa Matupang, Klinik Desa Nalapak, Klinik Desa Narawang dan Klinik Desa Tampios,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin @ Musidi Riman, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini, mengenai status pembinaan dan penaiktarafan Hospital Daerah Ranau serta langkah kerajaan menangani kekurangan doktor dan kakitangan kesihatan di luar bandar, khususnya di Paginatan.

Menjawab soalan tambahan ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong, Rina berkata kementerian mempunyai data yang sangat inklusif dan terperinci bagi mengenal pasti daerah serta kluster penyakit di seluruh Sabah.

Menurutnya, data itu bukan sahaja meliputi kluster penyakit seperti penyakit buah pinggang dan tibi, malah turut merangkumi keperluan mesin di setiap hospital daerah.

“Jadi, bagi keperluan yang sangat mendesak, kita meletakkannya sebagai keutamaan atau priority yang tinggi supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan secara konsisten bagi mendapatkan keputusan dengan lebih cepat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE