Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini bertafakur selama seminit bersempena genap setahun pemergian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata, mahkamah meminta semua yang hadir di dalam bilik bicara berdiri sebagai tanda penghormatan sebelum prosiding diteruskan dengan keterangan saksi ke-75.
“Atas dasar kemanusiaan dan sebagai tanda penghormatan, mahkamah meminta semua yang berada di dalam bilik mahkamah untuk berdiri dan bertafakur selama seminit sebelum kita meneruskan prosiding bersama saksi ke-75.
“Bagi yang beragama Islam, dipersilakan membaca Surah Al-Fatihah dan mendoakan kesejahteraan roh Allahyarhamah, manakala yang bukan beragama Islam boleh berdoa mengikut kepercayaan masing-masing. Bismillahirrahmanirrahim, terima kasih,” katanya.
Zara, 13, ditemui di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.
Prosiding inkues Zara bermula pada 3 September 2025.






